PENAMPILAN MAHASISWA IPTA DAN IPTS
Oleh Nur Adila Syafiqa Sulaiman
Cara berpakaian di institusi pendidikan tinggi sememangnya berbeza ketika berada di alam persekolahan. Jika di sekolah semua pelajar terikat dengan uniform khas tetapi di Institut Pengajian Tinggi (IPT), pelajar diberi kebebasan dalam berpakaian. Walaupun begitu, kebebasan berpakaian bukanlah lesen untuk pelajar IPT melanggar etika berpakaian ketika hadir ke kelas atau kuliah. Etika berpakaian merujuk kepada berpakaian yang bersesuaian dengan majlis, acara dan tempat.
Seperti yang kita tahu, IPT awam dan IPT swasta mempunyai cara yang berbeza dari segi penampilan. Terdapat beberapa pros dan kontras dari segi penampilan mahasiswa. Kini, hanya dengan penampilan kita dapat membezakan seseorang itu dari institut awam atau swasta. Bukan untuk memberi pandangan negatif kepada sesetengah pihak, tetapi penampilan itu amat penting kerana ianya mencerminkan peribadi seseorang.
Jika di IPT awam, sebilangan pelajar-pelajar lelaki gemar hadir ke kelas hanya memakai selipar ‘jepun’ dan baju tidak berkolar sehingga di tegur sinis oleh pensyarah. Sebilangan pelajar perempuannya pula, suka mengenakan selendang tipis, berpakaian ketat penuh warna-warni dan kerlipan serta solekan tebal. Tetapi jika penampilan ini dilakukan oleh mahasiswa IPT swasta, ianya dianggap perkara biasa dan fesyen adalah salah satu cara untuk menunjukkan keyakinan diri mereka dalam bidang tertentu.
Etika berpakaian yang betul di kalangan pelajar IPT adalah penting kerana ia mencerminkan kecemerlangan sesebuah IPT itu. Kita semestinya sedih apabila melihat cara berpakaian pelajar IPT ke kelas ibarat mahu berlumba-lumba membuat pertunjukan fesyen. Malah tidak kurang, ada juga yang kelihatan selekeh sehingga membuatkan kita mengeluh.
Lebih parah, apabila duit juga habis berbelanja untuk membeli barang kosmetik dan pakaian berjenama. Apabila diminta untuk membeli buku dengan harga yang sangat murah, masing-masing mengeluh mengatakan ketiadaan duit. Pelik. Tetapi inilah realiti yang kita perlu hadapi. Adakah mereka berhabis duit untuk belajar atau shopping.
Perlu diingatkan kepada pelajar IPT bahawa mereka adalah golongan yang berpendidikan tinggi. Maka penampilan diri terutama aspek berpakaian harus dipandang penting. Imej sebagai penuntut IPT harus dijaga supaya dapat menjaga dan memartabatkan IPT sebagai tempat penting melahirkan manusia yang bijak menjaga penampilan dan pemakaian selari dengan imej individu yang berpelajaran tinggi.
Apa yang diulas di atas adalah kontras yang selalu timbul apabila isu penampilan mahasiswa dibangkitkan. Tetapi melalui pros, penampilan yang mengikuti fesyen terkini adalah sesuatu yang digalakkan. Fesyen yang dimaksudkan ialah pakaian tidak formal yang unik tetapi kemas, yang menarik tetapi masih sopan. Mahasiswa IPT swasta kebanyakannya mengamalkan penampilan sebegini. Mereka menganggap fesyen adalah perkara yang perlu diikuti supaya tidak ketinggalan zaman. Namun begitu, tidaklah membuat spekulasi bahawa mahasiswa IPT awam tidak pandai dalam menunjukkan penampilan tetapi kebanyakan mereka hanya mengenakan pakaian yang biasa dan tidak up-to-date.
Penguatkuasaan undang-undang perlu dijalankan secara konsisten bagi memastikan pelajar mematuhi etika berpakaian. Begitu juga kerjasama pensyarah. Pensyarah perlu sedikit tegas dengan cara pemakaian para pelajar ketika menghadiri kelas atau kuliah ataupun urusan rasmi di pejabat.
Justeru, salah satu aspek penting dalam melahirkan mahasiswa berketrampilan adalah dengan mendidik mereka mengenai tatacara berpakaian yang betul sesuai dengan urusan, majlis atau acara rasmi atau tidak rasmi serta cocok dengan lunas-lunas agama. Penampilan yang kemas dan tidak berlebih-lebihan memaksimumkan lagi pandangan positif kepada golongan berpendidikan tinggi ini.