PROGRAM GOTONG-ROYONG DAN PENYERAHAN KERUSI MAKMAL KEPADA SEKOLAH











20 Febuari 2025 Fakulti Perubatan, UKM telah menyumbangkan sebanyak 211 unit kerusi makmal kepada lima buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Sekolah Kebangsaan Seri Cheras, Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Sekolah Kebangsaan Meru 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat. Sumbangan ini bertujuan untuk meningkatkan kemudahan pembelajaran di makmal sekolah, khususnya dalam menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif sekaligus meningkatkan minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.
Inisiatif ini juga mencerminkan keprihatinan Fakulti Perubatan UKM terhadap perkembangan pendidikan di peringkat sekolah, khususnya dalam mata pelajaran berkaitan sains. Sumbangan ini bukan sahaja dapat membantu sekolah dalam menyediakan kemudahan makmal yang mencukupi, tetapi juga mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah-sekolah dalam membangunkan generasi yang lebih berdaya saing.
Sumbangan ini telah disampaikan oleh Dr. Anisah Nordin, Penyelaras Unit Makmal Pelbagai Guna kepada guru besar dan wakil sekolah yang terlibat. Dengan adanya kerjasama seperti ini, diharapkan lebih banyak institusi dan pihak berkepentingan lain turut serta dalam usaha memperkasakan pendidikan di Malaysia. Semoga inisiatif ini akan terus berkembang dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pembangunan pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat, sekali gus menyumbang kepada kemajuan sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.