POLIP KOLOREKTAL: APA YANG PERLU ANDA TAHU?

Tarikh: 5 Mac 2020
Disediakan oleh: Nazihah Abd Jalal, Dr. Noraidatulakma Abdullah @ Muda, Norliza Ismail

Gambarajah menunjukkan penyingkiran polip pada dinding usus

Adakah anda pernah mengalami  gejala masalah pencernaan seperti cirit-birit (diarrhea) berpanjangan, mengalami perubahan yang ketara apabila membuang air besar, pendarahan pada rektum (saluran pembuangan), perubahan pada warna najis atau merasa ngilu pada bahagian perut atau dubur yang pasti menggangu rutin harian anda? Jika ya, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan pakar perubatan dan menjalani prosedur kolonoskopi. Prosedur kolonoskopi ini mampu mengenalpasti keabnormalan yang berlaku di dalam kolon (usus besar) dan rektum (saluran pembuangan), seterusnya diagnosis serta rawatan awal dapat dilakukan.

Salah satu daripada keputusan kolonoskopi yang biasa ditemui adalah ketumbuhan polip pada dinding kolon dan rektum. Polip kolorektal boleh didefinisikan sebagai pertumbuhan sel bertangkai (abnormal) di dalam lapisan kolon dan rektum dengan pelbagai saiz dan bentuk. Lazimnya pertumbuhan polip disifatkan tidak berbahaya, namun begitu terdapat sesetengah polip yang aktif dan akan cenderung membentuk sel kanser yang boleh menyebabkan kanser kolorektal.
Insiden dan kadar kematian bagi kanser kolorektal adalah berbeza di seluruh dunia. Di peringkat global, kanser kolorektal adalah kanser yang ketiga tertinggi didiagnosa dikalangan lelaki dan kedua tertinggi dikalangan wanita, dengan catatan kes baru sebanyak 1.8 juta dan hampir 861,000 kematian dicatatkan pada tahun 2018 (GLOBOCAN, WHO). Statistik di Malaysia menunjukkan  kanser kolorektal adalah paling tinggi dihidapi oleh lelaki dan yang kedua tertinggi dihidapi oleh wanita dengan kekerapan  sebanyak 13.5% seperti yang dilaporkan dalam Malaysian National Cancer Registry Report (2012 – 2016).

Umumnya, sel-sel pada individu yang sihat akan menjalani proses pembahagian sel baru bagi menggantikan sel yang lama dan rosak secara sistematik. Bagi sesetengah kes, proses mutasi di dalam DNA sel boleh berlaku yang mengakibatkan pembahagian sel yang lebih pantas dari kadar biasa. Ia juga mengakibatkan pertumbuhan sel yang tidak diperlukan. Pertumbuhan sel ini mendorong kepada pembentukan polip. Banyak kajian yang dijalankan menunjukkan kebanyakan kanser kolorektal adalah bermula daripada pertumbuhan awal polip. Melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Mouchli MA et al, 2018, pesakit yang didiagnosa polip mempunyai lima kali ganda risiko untuk mendapat kanser kolorektal.

Polip kolorektal boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu non-neoplastic dan neoplastic adenoma (Colucci et al, 2003). Pengkelasan histologi ini dapat diketahui melalui pemerhatian di bawah mikroskop oleh pakar patologi. Kebanyakan polip non-neoplastic seperti hyperplastic atau inflammatory adalah tidak berisiko untuk membentuk kanser. Manakala, polip neoplastic seperti tubular adenoma, tubulovilluos adenoma atau villous adenoma mempunyai kecenderungan yang sangat tinggi dalam pembentukan sel kanser. Semakin besar saiz polip tersebut, kadar perkembangan untuk menjadi kanser adalah lebih tinggi kerana di situ berlakunya pertumbuhan sel yang banyak.

Berdasarkan kajian terdahulu seperti dinyatakan di dalam laman web American College of Gastroentrology, dan yang ditemui oleh S.J Winawer, et al 1997, pertumbuhan polip adenoma sehingga menjadi sel kanser kolorektal mengambil masa secara purata selama sepuluh tahun.  Tempoh yang sama juga digunakan sebagai piawaian untuk individu menjalani saringan kolonoskopi. Walaubagaimanapun, tempoh tersebut menjadi lebih singkat bagi individu yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat kanser kolorektal seperti pesakit yang telah didiagnosa mempunyai adenoma atau penyakit keradangan pada sistem pencernaan, mempunyai sejarah keluarga pesakit kanser, berumur lebih 50 tahun dan merokok.

Justeru itu, pengesanan awal kehadiran polip kolorektal sangat penting dan dititikberatkan. Ini kerana, kajian yang dijalankan oleh S. J. Winawer et al, 1993 menunjukkan penyingkiran polip adenoma akan mengurangkan insiden kanser kolorektal sebanyak 90 peratus. Ini bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, bahkan dapat mengurangkan bebanan kos perubatan kepada pesakit dan negara serta meningkatkan kualiti hidup pesakit. Oleh itu, pelbagai prosedur perubatan diperkenalkan bagi mengesan kehadiran awal polip di dalam kolon dan rektum. Cara paling mudah dan kos efektif adalah menjalani saringan menggunakan kit pengesan kehadiran darah tersembunyi di dalam najis (immunochemical fecal occult blood – iFOBT) secara kualitatif. Kit ini mampu mengesan kuantiti kecil darah pada najis yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan prosedur kolonoskopi akan dicadangkan sekiranya individu tersebut didapati mempunyai keputusan positif kehadiran darah. Program saringan ini telah berjaya dilaksanakan oleh beberapa agensi, dan antara agensi yang masih aktif adalah Projek The Malaysian Cohort yang menyediakan saringan kesihatan kepada 100,000 sukarelawan di seluruh Malaysia. Dengan kesedaran untuk menjalani pemeriksaan saringan ini, kita dapat mengenalpasti risiko dan mencegah kanser kolorektal dengan lebih awal.

 

Rujukan: