SKMM Sekat 32 laman dan 72 pautan Ideologi Daesh
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 21 Mac 2017 – Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya dan Komunikasi Malaysia (SKMM) menyekat 32 laman dan 72 pautan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang terlibat dengan sebaran ideologi Daesh.
Timbalan Menterinya, Dato’ Jailani Johari berkata SKMM telah mengambil langkah yang proaktif dengan menyekat laman dan pautan media sosial tersebut yang telah menyebarkan propaganda pengganas.
“Dengan jumlah 20.6 juta pengguna internet di negara ini dan 16 juta daripadanya adalah pengguna aktif, ia membuktikan bahawa masyarakat hari ini lebih cenderung menggunakan laman sosial untuk menyebarkan propaganda seperti kumpulan pengganas Daesh dan juga pedofilia,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Bual Bicara isu-isu Semasa 2017 di UKM baru-baru ini.
Beliau memberitahu bahawa purata penggunaan internet melalui komputer adalah sebanyak empat jam 38 minit sehari dan pengguna internet yang melayarinya melalui telefon pintar pula adalah 3 jam 37 minit sehari.
“Ini menjadikan media sosial sebagai medium yang sangat berkesan dalam merekrut ahli-ahli baru,” katanya.
Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan Jurnal Komunikasi melalui sistem atas talian.
Turut hadir pada majlis itu adalah Pro Naib Canselor Penjanaan dan Prasarana, Prof Dr Nor Ghani Md Nor dan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Dr Ekhwan Toriman.