Pemimpin Berkualiti Perlu ada Kemahiran Membuat Keputusan


Oleh Nadia Sapuan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 22 Mac 2017 – Seseorang perlu mempunyai kemahiran membuat keputusan yang boleh mendatangkan impak positif yang maksimum jika mahu menjadi seorang pemimpin yang berkualiti

Felo DiRaja Pusat Kecemerlangan Perniagaan Sosial-Yunus (UKM-Yunus CASB), YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz berkata impak daripada keputusan yang dibuat adalah penting kerana ia dapat membantu pembuat keputusan dalam merencanakan keputusan seterusnya.

“Sebelum anda memilih sesuatu keputusan, pilihlah keputusan yang boleh mendatangkan impak yang postif kepada masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada 3rd Conference Managing The Future bertajuk Leading Society di UKM baru-baru ini.

Beliau berkata apabila menjadi pemimpin dalam sesebuah organisasi, pemimpin perlu menjadi  pengurus dan ketua dalam masa yang sama.

“Penting untuk anda menjadi seorang pengurus dan seorang ketua kerana pengurus melakukan tugas yang betul manakala ketua melakukan tugas dengan baik,” katanya.

Persidangan itu bertujuan untuk memberikan pandangan mengenai cabaran ekonomi dan perniagaan yang menanti pada masa akan datang daripada segi risiko dan peluang selain untuk memahami pasaran yang pesat berubah dan langkah bersedia untuk mengekalkan kelebihan daya saing perniagaan.