Atlet Ping Pong Sukan Komenwel 2018 Olahragawan UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 24 April 2018 – Atlet Ping Pong yang mewakili negara dalam Sukan Komenwel 2018 di Gold Coast, Australia, Muhammad Ashraf Haiqal Muhamad Rizal, telah dinobatkan sebagai Olahragawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Majlis Anugerah Sukan UKM Kali ke-28 baru-baru ini.

Muhammad Ashraf Haiqal, pelajar tahun empat jurusan Sukan dan Rekreasi, Fakulti Pendidikan (FPEND) berkata, kejayaan beliau dalam menempatkan diri ke Sukan Komenwel adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Walaupun saya tidak memenangi sebarang pingat, tetapi ini adalah prestasi terbaik saya dalam sukan Ping Pong,” katanya.

Beliau menjelaskan akan mencuba memperbaiki kedudukan dan divisyen pada kejohanan Piala Dunia yang berlangsung pada 27 April ini.

“Saya dan pasukan sekarang berada di division ketiga, jadi kami akan bertarung untuk ke divisyen dua,” katanya yang akan menjalani latihan di Beijing, China.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Lokman Hakim Ali berkata, walaupaun Muhammad Ashraf Haiqal tidak meraih sebarang pingat, tetapi beliau telah berada di kedudukan ke-16 terbaik dalam kategori perseorangan lelaki pada Sukan Komenwel yang lepas.

“Itu satu kemajuan yang amat positif dalam kalangan atelt-atlet Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia.  Selain itu, untuk Sukan Sea 2017, UKM perlu berbangga kerana lapan daripada atletnya telah mewakili negara dalam sukan ini  mencerminkan bahawa atlet-atlet di universiti mampu mempamerkan prestasi yang baik,” katanya.

Beliau amat positif, bahawa pada masa hadapan lebih ramai bakat-bakat baru di peringkat universiti dapat dikenal pasti dan dapat diangkat sebagai atlet yang mewakili negara ke kejohanan-kejohanan besar.

Dalam majlis yang sama, Noraidillina Adilla J. Sam dari acara sukan berbasikal telah dinobatkan sebagai Olahragawati UKM.

Majlis Anugerah Sukan UKM dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibahim Saad dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Roslee Rajikan.