UKM Tuan Rumah Forum Presiden Universiti Malaysia-Taiwan yang Pertama


Oleh Izzul Aniq
Gambar oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Ogos 2018 – Forum Presiden Universiti Malaysia-Taiwan yang diadakan buat pertama kalinya telah menghimpunkan presiden-presiden universiti dari kedua-dua negara (Malaysia dan Taiwan)  bagi membincangkan isu-isu utama dunia akademik.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali dalam ucapannya berkata, forum tersebut memfokuskan kepada empat tema utama iaitu Peranan Universiti pada abad ke-21; Keusahawanan dan Perkaitan Industri; Kerjasama Malaysia-Taiwan: Menuju ke arah Selatan; dan Meningkatkan Mobiliti ke Arah Mengukuhkan Kerjasama Serantau.

“Saya berharap dengan peluang ini kita dapat memanfaatkan sepenuhnya dengan mewujudkan rangkaian yang luas serta mewujudkan hubungan baru.

“Ini adalah forum pertama dengan Taiwan. Jadi, saya mahu ia diteruskan pada masa akan datang kerana ini adalah titik permulaan ke arah masa depan yang lebih kuat dan lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Politik, Kementerian Pendidikan Taiwan, Dr Leehter Yao berkata, dengan usaha itu ia dapat mewujudkan peningkatan kerjasama dengan universiti antara Malaysia dan Taiwan.

“Ini adalah peluang yang baik untuk Taiwan berkembang dari segi pendidikan. Ia dapat dilakukan melalui pertukaran maklumat, meneroka pendekatan baharu untuk melakukan penyelidikan dan berkongsi pengalaman.

“Ini merupakan tonggak penting bagi sektor pendidikan Taiwan dan saya bercita-cita untuk melihat ini menjadi sebuah kerjasama yang berkekalan,” katanya.

Forum tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato ‘Seri Dr Ibrahim Saad dan Naib Presiden Eksekutif Akademik dan Penyelidikan Universiti Nasional Taiwan, Prof Tei Wei Kuo.