HCTM Lancar Perkhidmatan Ubat Melalui Pos


Oleh Asmahanim Amir
Foto Bahagian Multimedia Korporat UKM KKL

CHERAS, 3 September 2019 – Bagi memberi perkhidmatan pembekalan ubat susulan terus ke lokasi pilihan pesakit, Jabatan Farmasi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah melancarkan Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) kepada pesakit.

Perkhidmatan tersebut adalah salah satu daripada perkhidmatan baharu yang boleh dipilih oleh pesakit HCTM yang memenuhi kriteria dan telah diperkenalkan di Farmasi Pesakit Luar HCTM sejak November 2018.

Perkhidmatan UMP itu ditawarkan bagi kiriman ubat kepada pesakit luar HCTM di seluruh Malaysia sahaja dengan tujuan untuk mengurangkan masa menunggu pesakit di kaunter farmasi, menjamin kesinambungan bekalan ubat susulan pesakit dan meningkatkan tahap komplians pesakit terhadap ubat-ubatan.

Sehingg kini, seramai 760 pesakit telah menggunakan sistem UMP dan caj kiriman akan ditanggung oleh pesakit mengikut berat ubat yang dihantar.

Selain itu, HCTM turut melancarkan Hospital Mesra Ibadah (HMI) dengan slogan Anda Tetamu Kami yang berkonsepkan penerapan nilai islam atau ubaidah kepada kakitangan.

Konsep HMI juga diterapkan bagi mengamalkan kecemerlangan perkhidmatan dengan fokus kepada kesejahteraan pelanggan, membantu, memudah dan menggalakkan ibadah sama ada peskait, keluarga pesakiat dan kakitangan untuk melaksanankan ibadah serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Aktiviti yang dijalankan oleh Pusat Islam UKM KKL melalui konsep HMI termasuklah latihan dan pendidikan kakitangan, perkhidmatan kepada pesakit dan waris dan kemudahan infrastruktur.

HMI dilaksanakan di seluruh wad secara berperingkat, dimulai dengan Wad 6G, Wad 5F, Wad 5C, Wad 4H dan Wad 2B.