Pakar Perubatan UKM Terbit Artikel dalam Jurnal Nature, Jurnal Tersohor Dunia


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 29 Oktober 2019 – Pakar Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Dr Syed Mohamed Aljunid berjaya menerbitkan artikel bertajuk Mapping 123 Million Neonatal, Infant and Child Deaths between 2000 and 2017 (Pemetaan 123 juta Kematian Neonat, Bayi dan Kanak-kanak dari tahun 2000 dan 2017) dalam jurnal Nature, iaitu sebuah jurnal berimpak tinggi dan tersohor di dunia.

Artikel tersebut adalah hasil penyelidikan di bawah projek Beban Penyakit Global melalui Institute for Health Metriks and Evaluation, Universiti Washington.

Prof Dato’ Dr Syed Mohamed Ajlunid dari Pusat Antarabangsa Casemix dan Pengekodan Klinikal (ITCC) dan Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan UKM adalah salah seorang penulis bersama dalam artikel tersebut. Beliau kini bertugas sebagai Professor Ekonomi, Polisi dan Pengurusan Kesihatan, Fakulti Kesihatan Awam di Universiti Kuwait.

Artikel yang terkandung dalam jurnal itu melaporkan analisis data kematian bayi dan kanak-kanak dari 99 buah negara berpendapatan rendah dan sederhana di dunia dan membandingkan dengan sasaran SDG 3.2 (Sustainable Development Goals) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kajian itu mensasarkan agar semua negara di dunia menghentikan kematian kanak-kanak yang boleh dicegah, dan mencapai kadar kematian neonat iaitu di bawah 12 kelahiran daripada 1,000 kelahiran hidup, manakala kadar kematian kanak-kanak bawah lima tahun pula adalah di bawah 25 kelahiran daripada 1,000 kelahiran hidup menjelang tahun 2030.

Prof Dato’ Dr Syed Mohamed Ajlunid berkata, kenunikan kajian tersebut adalah data yang dianalisis melibatkan 123 juta kematian kanak-kanak diperingkat daerah, dibandingkan dengan kadar kematian yang dilaporkan di peringkat nasional.

“Hasil analisis tersebut, didapati pada tahun 2017, cuma 32 peratus dari kanak-kanak dibawah umur lima tahun yang tinggal di daerah-daerah mencapai sasaran SDG 3.2, manakala 58 peratus dari kematian kanak-kanak adalah boleh dicegah sekiranya langkah yang efektif diambil dalam sistem kesihatan negara-negara berkenaan,” katanya.

Secara keseluruhannya, beliiau berkata, semua 99 buah negara itu menunjukkan penurunan kadar kematian kanak-kanak iaitu dari 8.5 juta pada tahun 2000 ke lima juta pada tahun 2017.

“Walaubagaimana pun, didapati 90 buah negara iaitu 91 peratus kadar kematian neonat adalah jauh lebih tinggi dari kadar kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Kadar kematian neonat meningkat dari 37.4 peratus pada tahun 2000 ke 43.6 peratus dari kadar kematian kanak-kanak dibawa umur lima tahun pada tahun 2017,” katanya.

Beliau menjelaskan, bahawa penurunan kematian kanak-kanak bawah umur lima tahun adalah hasil kejayaan program imunisasi, intervensi berkesan dalam mencegah penyakit berjangkit seperti malaria, penyakit bawaan air dan pencegahaan penularan dari ibu ke anak untuk penyakit HIV, bekalan air bersih dan sanitasi yang selamat.

“Untuk menurunkan kadar kematian neonat pula, langkah yang perlu diambil adalah meningkatkan sistem kesihatan bagi menangani masalah kesihatan neonat yang berkaitan kecacatan kromosomal dan komplikasi dari kelahiran pramatang,” katanya.

Dalam artikel itu, para penyelidik mencadangkan supaya usaha harus diteruskan bagi setiap negara untuk mengukuhkan sistem kesihatan bagi mencapai sasaran SDG 3.2 dalam menghentikan kematian yang boleh dicegah.

Selain itu usaha juga harus ditumpukan bagi menyediakan data yang sesuai untuk memantau pencapaian sistem kesihatan sehingga peringkat daerah.

Prof Dato’ Dr Syed Mohamed Ajlunid berkata, di Malaysia, kematian kanak-kanak bawah lima tahun adalah 6.9 kematian daripada 1,000 kelahiran hidup telah pun mencapai sasaran SDG 3.2.

“Namun, masyarakat harus mengambil iktibar dari hasil kajian ini untuk terus mengukuhkan sistem kesihatan bagi memastikan kadar kematian kanak-kanak di daerah-daerah terpencil dapat dikurangkan dan penyebab kematian yang boleh dicegah dikenalpasti serta tindakan efektif dapat diambil.

“Usaha untuk memastikan supaya program imunisasi yang luas tidak terhalang akibat dari pengaruh kumpulan anti-vaksin yang begitu aktif cuba mempengaruhi rakyat Malaysia pada masa ini,” katanya.