Pasukan Penyelidik UKM Hasilkan Prototaip Segmen Lapisan Terowong Tahan Api


Oleh Asmahanim Amir
Foto Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

BANGI, 2 Januari 2020 – Pasukan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Bandar Pintar dan Lestari (SUTRA), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) telah menghasilkan prototaip segmen lapisan terowong menggunakan campuran konkrit terpaten yang lebih tahan haba dan menguji ketahanan api pada suhu sebenar kebakaran terowong.

Pasukan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr Roszilah Hamid telah menjalankan ujian kebakaran terowong bersama Pusat Penyelidikan Kebombaan (PUSPEK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi melihat hasil kajian tersebut.

Menurut Prof Madya Dr Roszilah, melalui kajian itu, UKM telah memeterai perjanjian dengan SPC Industries Sdn. Bhd. untuk mengilang prototaip segmen lapisan terowong tersebut dan pihak PUSPEK, JBPM, yang turut sama terlibat dalam pelaksanaan ujian kebakaran terowong skala besar.

“Perlaksanaan ujian kebakaran terowong telah dijalankan di PUSPEK. Satu setup eksperimen yang mengandungi dua gegelang terowong skala sebenar telah direka bentuk untuk menghasilkan suhu sebenar dalam terowong ketika kebakaran.

“Satu gegelang adalah dari segmen dengan campuran konkit yang dipatenkan oleh UKM dan satu gegelang lagi ialah dari segmen yang sedang diguna pakai untuk pembinaan terowong.

“Hasil kajian menunjukkan suhu 1200°C dapat dicapai dalam masa lima minit dan selepas 30 minit kebakaran dipadamkan. Hasil kajian juga menunjukkan gegelang dengan segmen konkrit paten UKM tidak mengalami serpihan dan tanggalan penutup konkrit dan tetulang tidak terdedah kepada api kebakaran, manakala konkrit penutup segmen terowong yang sedang diguna pakai dalam pembinaan terowong semasa terserpih teruk sehingga mendedahkan tetulang kelulinya,” katanya.

Beliau berkata, kajian itu menunjukkan campuran konkrit yang dipatenkan telah dapat menahan beban kepanasan suhu kebakaran terowong dan perlu digunakan sebagai bahan pelindung pasif untuk dinding terowong.

Katanya, kajian ini penting dan penggunaan konkrit tahan api ini perlu diaplikasikan dalam pembinaan terowong. Beliau mengambil contoh kemalangan yang melibatkan sebuah lori tangki membawa muatan minyak terbakar di KM265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (arah utara), sebelum Terowong Menora, Ipoh.

“Jika kebakaran tersebut berlaku dalam Terowong Menora, dijangkakan kemungkinan kehilangan nyawa akan berlaku dan mengakibatkan kerosakan kekal struktur terowong, dan terowong tidak dapat digunakan lagi.

“Ini adalah disebabkan aktiviti menyelamat dan pemadaman kebakaran yang terhad dalam kawasan sempit dan terkurung. Ini juga disebabkan kebakaran kenderaan, terutama kenderaan berat dengan muatan penuh, berbeza dengan kebakaran bangunan yang melibatkan kebakaran perabut dan peralatan dalam bangunan kerana kadar pembakaran bahan bakar hidrokarbon dari kenderaan itu yang tinggi,” katanya.

Keadaan kelembapan yang tinggi bagi lapisan konkrit terowong berbanding bangunan yang terdedah udara juga akan menyebabkan lapisan konkrit meletup dan pecah apabila kelembapan yang bertekanan tinggi dalam konkrit terpeluwap.

Apabila penutup konkrit pecah, tetulang keluli akan terdedah kepada suhu tinggi dan struktur terowong menjadi tidak stabil dan musnah.