Pelajar Sarjana Institut Selfuel Hasilkan Face Shield bantu Petugas Barisan Hadapan COVID-19


Oleh Asmahanim Amir
Foto Institut Selfuel

BANGI, 31 Mac 2020 – Pelajar Sarjana Sains Kejuruteraan Selfuel, Azreen Junaida Abdul Aziz, mengambil inisiatif membuat face shield bersama anak-anak sebagai salah satu aktiviti mereka di rumah sepanjang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Azreen berkata bermula dengan suka-suka, beliau dan anak-anak telah menghasilakan 100 face shield dan semua itu telah diserahkan kepada bilik gerakan COVID-19 UKM.

“Kami menggunakan bahan yang ada di rumah sahaja dan kebetulan ada plastik laminate dan mesin laminate. Jadi kami menggunakan plastik laminate sebagai bahan utama sebagai penutup muka. Selain itu, kami juga menggunakan getah putih yang digunakan untuk membuat pinggang kain baju kurung sebagai getah mencengkam dibahagian belakang kepala memandangkan kami tidak ada span.

“Saya terpanggil untuk menghasilkan face shield apabila melihat ada sesetengah petugas barisan hadapan yang terpaksa menggunakan plastik sebagai pakaian perlindungan diri terhadap risiko kesihatan dan keselamatan (PPE),” ujarnya.

Katanya, apabila aktiviti bersama anak-anak itu diketahui oleh penyelianya, Dr. Nurul Akidah Baharuddin, beliau mengambil inisiatif untuk turut berkolabrasi dalam menghasilkan lebih banyak face shield dan seluruh warga Institut Selfuel juga turut memberikan sokongan.

“Anak-anak gembira apabila saya meminta mereka membantu saya. Ini salah satu cara untuk kami membantu petugas barisan hadapan dalam menghadapi COVID-19,” katanya.

Bagi membantu lebih ramai petugas barisan hadapan, Institut Selfuel UKM mengambil inisiatif dengan membuat pembelian barang bagi menghasilkan face shield yang lebih baik reka bentuknya.

Pembuatan secara berkumpulan akan dilakukan dan seterusnya face shield tersebut akan dihantar segera ke hospital bagi membantu petugas-petugas barisan hadapan.