Ambulans HCTM Bawa Pesakit Terbabas, Tiada Kecederaan Dilaporkan


Oleh Asmahanim Amir
Foto HCTM UKM

CHERAS, 5 April 2020 – Ambulans Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dalam perjalanan membawa pesakit dari PPR Pinggiran Bukit Jalil ke HCTM terbabas berhampiran Tol Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur sebelum susur ke Cheras.

Dalam kejadian yang berlaku petang Ahad, ambulans yang dipandu oleh Abdul Farid Ahmad tiba-tiba terbabas, namun dapat dikawal sebelum melanggar penghadang jalan raya. Semua penumpang iaitu pesakit, waris pesakit, petugas ambulans yang terdiri darpada Penolong Pegawai Perubatan, Juruteknik Perubatan dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kecekapan pemandu mengawal ambulans dengan baik ketika terbabas telah berjaya mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini kepada semua penumpang dan pesakit di dalam ambulans tersebut.

Pihak HCTM, melalui Unit Pra Hospital (PHCC) telah menghantar Emergency Response Vehicle (ERV) untuk memberi bantuan awal. Bantuan ambulans ganti dari HCTM juga dihantar secepat mungkin ke lokasi kejadian kira-kira 15 minit selepas itu bagi mengambil petugas ambulans dan pesakit ke HCTM.

Ambulan yang terlibat dalam kemalangan tersebut sebelum ini berada dalam keadaan baik dan telah menjalani pemeriksaan Puspakom secara berkala setiap enam bulan, dan pemeriksaan berikutnya adalah pada Jun 2020.