KKM Telah Bersedia Hadapi COVID-19 Sejak Disember 2019 – Datuk Dr Noor Hisham
Oleh Asmahanim Amir
BANGI, 3 Ogos 2020 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersedia menghadapi penularan coronavirus COVID-19 sejak Disember 2019 selepas wabak itu tersebar di China, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
“Bagi tujuan ini, kita telah mengaktifkan kembali Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) yang bukan hanya diperingakt kebangsaan, tetapi juga di negeri-negeri selain melaksanakan protokol sistem logistik dan sebagainya” katanya semasa program Webinar Bicara Emas Alumni Fakulti Perubatan COVID-19 Pandemic: Leadership in Times of Crisis baru-baru ini.
Beliau berkata, KKM telah membuat beberapa tindakan seperti memperkasakan makmal-makmal bagi tujuan mengesan virus melalui saringan kesihatan yang dijalankan.
Kes pertama dikesan di Malaysia adalah pada 24 Januari 2020 yang dibawa dari Singapura.
“Jadi waktu itu (kes pertama) kita laksanakan contact tracing seperti yang telah kita jalankan semasa latihan sebelum ini. Kita mengerahkan staf-staf kesihatan dari negeri-negeri dan melihat kepada (keperluan) hospital,” katanya.
Beliau adalah Alumni Perubatan UKM memberitahu bahawa sebelum gelombang COVID-19 melanda Malaysia, hospital di negara ini telah sesak, tetapi KKM sudah menyediakan Hospital Sungai Buloh untuk memberi fokus kepada pesakit COVID-19 sahaja.
“Kita juga bersiap sedia untuk menggunakan mesin ventilator dan katil-katil utk ICU sebab kita dah jangka kes akan bertambah dan hospital akan sesak dengan pesakit. Selain itu. kita juga ‘membina’ hospital sementara dalam tempoh empat hari di MAEPS, Serdang bermula dari 600 katil ke 1,000 katil,” ujarnya.
Datuk Dr Noor Hisham berkata, pengalaman staf kesihatan yang mengendalikan kes SARS, Mers-CoV dan H1N1 menjadikan KKM lebih bersedia dalam berhadapan dengan COVID-19.
“When we look into this crisis, daily communication and update the information is very important to educate the public about this virus.
“We already done what need to do before the pandemic and when the pandemic come, we almost ready to face it,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, kepimpinan adalah sangat penting dalam membuat keputusan semasa negara berhadapan dengan pandemic dunia.
“Pemimpin perlu membuat keputusan yang berat dan mengambil tindakan bagi menangani pandemic ini,” katanya.
Beliau berkata, semua pemimpin di semua sektor perlu seiringan dalam membuat keputusan yang cepat bagi mengekang jangkitan COVID-19.
“Sektor ekonomi tidak boleh membuat keputusan hanya berdasarkan ekonomi semata-mata malah KKM pun tidak boleh membuat keputusan hanya untuk KKM sahaja, tetapi kata sepakat dari semua adalah penting dalam membuat keputusan mengekang penularan pandemik ini.
“Private and public partnership adalah penting dalam membantu KKM menangani pandemik ini. KKM tak boleh bersendirian dan semua pihak perlu memainkan peranan,” jelasnya.
Tan Sri Dr Jemilah yang juga alumni Perubatan UKM dan Ahli Lembaga Pengarah UKM berkata, Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum perlu bersama-sama menangani penularan virus ini dengan mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh KKM berkenaan prosedur operasi standard (SOP).
“This is not a new norm but it is next norm. Everything is going to change,” katanya.
Katanya, kekuatan barisan hadapan dalam menangani pandemik adalah satu amanah yang perlu dipikul.
“This is the privilege to make sure Malaysian are safe from this virus,” katanya.