UKM Lancar Syiling Peringatan Sempena Sambutan 50 Tahun


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Shahiddan Saidi

BANGI, 21 Ogos 2020 – Sempena penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-50 tahun pada 18 Mei 2020 yang lepas, UKM melancarkan duit syiling peringatan Jubli Emas UKM yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

UKM adalah institusi pertama yang dipilih oleh BNM pada tahun ini bagi mengeluarkan duit syiling peringatan yang diperbuat daripada perak tulen dengan nilai muka RM10, emas Nordik dan emas Nordik (proof) dengan nilai muka RM1.

Duit syiling tersebut didatangkan bersama kotak dan kad yang direka bentuk khusus sempena sambutan Jubli Emas Penubuhan UKM.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, UKM telah menempah sebanyak 300 keping duit syiling perak tulen, 10,000 keping duit syiling emas Nordik dan 500 keping duit syiling emas Nordik (proof) untuk dimiliki oleh warga UKM, alumni, pesara dan orang awam sebagai cenderamata istimewa sempena sambutan jubli emas penubuhan UKM.

“Secara rasminya, warga UKM, alumni, pesara, orang awam, peminat dan pengumpul syiling boleh mula membeli duit syiling tersebut di kaunter Jabatan Bendahari UKM sebulan dari tarikh pelancaran ini sebagai cenderamata istimewa sempena Sambutan Jubli Emas penubuhan UKM,” katanya.

Beliau berkata, hasil jualan duit syiling peringatan jubli emas ini akan dimanfaatkan oleh UKM untuk aktiviti pengajaran, penyelidikan dan kebajikan pelajar.

Pelancaran duit syiling tersebut telah disempurnakan oleh Pro Canselor UKM, Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja’afar. Hadir sama ialah Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

UKM yang ditubuhkan 50 tahun lepas telah berkembang pesat bersama arus pembangunan negara dan dunia, menjadi sebuah universiti kebangsaan yang menjulang negara di persada antarabangsa dan kini tergolong dalam 1% universiti terbaik dunia.