Pemudah Cara Kolej Kediaman Bantu Kelancaran Pendaftaran Pelajar Baharu
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 3 Oktober 2020 – Pemudah Cara (PC) kolej kediaman Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membantu pelajar-pelajar baharu bagi melancarkan proses pendaftaran dalam suasana norma baharu.
Qussiynur Yakin Ainal Yakin, PC di Kolej Pendeta Za’ba (KPZ) berkata, walaupun UKM telah mengeluarkan pekeliling penangguhan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus, mereka tetap menerima dan menyantuni pelajar yang hadir pada hari ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Perjalanan pendaftaran hari ini adalah pelajar dan ahli keluarga yang datang ke KPZ akan disaring suhu badan terlebih dahulu dan diberikan kad hijau jika semuanya menunjukkan suhu normal. Kemudian, hanya pelajar sahaja yang dibenarkan ke kaunter pendaftaran kolej dan mengambil kunci bilik masing-masing.
“Ibu bapa hanya dibenarkan menurunkan barang-barang dan barang-barang itu akan dibantu oleh PC untuk di bawa ke bilik pelajar tersebut,” katanya.
Dia berkata, kebanyakan pelajar yang datang mendaftar hari ini adalah dari negeri di Pantai Timur dan seorang dari Sarawak.
“Alhamdulillah semua SOP dipatuhi oleh pelajar… ibu bapa juga sangat memberi kerjasama dan perjalanan pendaftaran adalah sangat lancar,” katanya.
Sementara itu, Nur Fatihah Salim, pelajar tahun satu Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat berkata, dia mendapat maklumat tentang penangguhan kemasukan pelajar ke kampus itu semasa telah tiba di Selangor.
“Saya dari Terengganu. Apabila mendapat tahu tentang penangguhan itu, keluarga saya membuat keputusan untuk meneruskan pendaftaran di sini (kampus) memandangkan kami dah sampai. Saya bersyukur kerana UKM menerima dan membenarkan pelajar untuk berada di kampus walaupun pekeliling penangguhan telah dikeluarkan.
“Saya akan mematuhi semua SOP yang ditetapkan dan akan membiasakan diri dengan norma baharu,” katanya.
Abangnya, Muhammad Tarmizi Salin yang turut sama menghantar Nur Fatihah berkata dia akur dengan SOP yang ditetapkan pihak universiti dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.
“Benda (virus) ni kita tak boleh jangka kerana kita tak nampak. Jadi SOP memang kita kena ikut betul-betul. Saya harap adik saya dapat belajar dengan bersungguh-sunguh dan menggunakan segala kemudahan yang ada terutamanya kemudahan internet dalam menghadiri kelas secara dalam talian,” katanya.
Untuk pendaftaran pelajar baharu semester 1 sesi 2020/2021, UKM menerima seramai 3,916 pelajar yang dari seluruh Malaysia yang akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda di 13 fakulti.