UKM bekerjasama dengan IKIM dan AKPK bagi Merangka dan Membangunkan Indeks Literasi Kewangan Islam
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 9 Februari 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) menjalin kerjasama dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi merangka dan membangunkan Indeks Literasi Kewangan Islam di sekitar Lembah Klang.
Kerjasama itu dilakukan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara ketiga-tiga pihak.
Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata kolaborasi itu adalah amat penting bagi mengkaji sejauh mana tahap kefahaman, kesedaran dan pengetahuan masyarakat muslim terutamanya dalam aktiviti berkaitan perancangan dan pelaksanaan kewangan Islam.
“Hasil kerjasama ini juga diharap dapat memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan serta dapat mengukuhkan lagi institusi-institusi yang berkaitan seperti institusi zakat, waqaf, majlis agama negeri, dan institusi perbankan Islam di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata dalam memperkasakan peranan UKM, jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak adalah salah satu usaha memasyarakatkan penyelidikan UKM.
“Kerjasama seperti ini juga dapat memberikan penyelidik UKM dimensi baru melalui sumbangan idea dan sumbang saran pihak-pihak yang berkepentingan dalam sesuatu bidang tujahan penyelidikan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata gerak langkah kerjasama antara IKIM dan UKM itu boleh menjadi pencetus kepada kerjasama lain antara IKIM dengan fakulti/pusat lain di UKM, seperti Fakulti Pengajian Islam, Institut Islam Hadhari, Institut Perubahan Iklim, Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim dan juga Perpustakaan Tun Sri Lanang.
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berharap agar kerjasama antara institusi tersebut akan menjadi pencetus kepada jalinan kerjasama yang berikutnya, yang seharusnya dapat menambahbaik kualiti perkhidmatan, meningkatkan daya saing, dan seterusnya menyumbang kepada kemaslahatan sejagat melalui perkongsian ilmu dan kemahiran.
“Penemuan dan perkembangan ilmu baharu melalui kajian-kajian yang dijalankan di institusi pengajian tinggi adalah sangat berharga.
“Melalui jalinan kerjasama ini, ilmu tersebut boleh dimanfaatkan dengan menyalurkan kepada industri untuk dipraktikkan kerana perkhidmatan yang disediakan di industri untuk masyarakat haruslah sentiasa relevan seiring dengan perubahan zaman,” katanya.
Kolaborasi antara UKM dengan IKIM adalah bagi memperkasakan bidang penyelidikan kewangan Islam seperti perkongsian ilmu kewangan Islam melalui slot radio IKIM FM. UKM juga amat menghargai kerjasama IKIM dalam program-program kerjasama yang lain termasuk kerjasama dengan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) dan kerjasama dengan Kursi Perubahan Iklim UKM-YSD, Institut Perubahan Iklim UKM dalam rancangan Man and Nature di radio IKIM FM bagi menyampaikan pengetahuan kepada masyarakat berkaitan isu-isu alam sekitar dan perubahan iklim yang baru sahaja berakhir pada 24 Januari yang lalu.
Bagi kerjasama bersama AKPK pula, UKM juga telah mula menggerakkan kerjasama sejak dari tahun 2019 iaitu dalam membangunkan program pendidikan dan penyelidikan kewangan untuk pelajar IPT. Pada tahun yang sama juga, UKM telah berjaya memenangi Anugerah Kolaborasi Terbaik Universiti di peringkat Kebangsaan pada Majlis Anugerah Kolaborasi AKPK 2019.