Anak Bekas Pemandu Jentera Raih Anugerah Naib Canselor
Oleh Nur Batrisyia dan Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 5 April 2021 – Anak bekas pemandu jentera, Gan Jian Jie meraih Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia kali ke-48.
Beliau yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina sentiasa konsisten melakar keputusan yang cemerlang pada setiap semester.
Walaupun ‘ulat buku’, tetapi Jian Jie tetap aktif berpersatuan sepanjang empat tahun di UKM.
Beliau adalah ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan ahli Majlis Exsekutif Pelajar kolej kediaman serta merupakan Duta bagi UKM Karier dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa UKM.
Di peringkat antarabangsa, Jian Jie adalah Duta Pelancongan Chiba bagi Kedutaan Pelancongan Jepun di Malaysia dan telah terpilih sebagai Delegasi Malaysia bagi program Mobiliti “Oversea Chinese Relation & Business Research series 2019”
Berpegang pada prinsip Without Planning, is Planning to Fail, anak kelahiran Selama, Perak itu sentiasa mempunyai perancangan dalam apa jua tindakan yang diambil.
Beliau berkata prinsip itu sentiasa menjadi penanda aras kepada kehidupan sehariannya dan memberikan satu peluang kepadanya untuk meningkatkan keyakinan diri.
“Kita perlu ada perancangan. Tanpa perancangan, kita telah merancang untuk gagal.
“Pengalaman sebenarnya penting, namun janganlah terlalu fokus kepada pelajaran semata-mata. Sebaliknya, perlu juga menitikberatkan kemahiran insaniah kerana ia merupakan satu budaya dalam UKM. Kemahiran insaniah adalah satu kemahiran yang penting untuk pembinaan jati diri pada masa depan,” katanya
Anak bongsu daripada lima beradik itu bersyukur kerana kedua ibu bapanya tidak pernah menghalang beliau untuk aktif menyertai pelbagai program di UKM. Malah, katanya mereka sentiasa berada bersamanya ketika susah dan senang.
Atas kejayaannya itu, Jian Jie menitipkan ucapan terima kasih kepada keluarganya, para pensyarah dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam lakaran kejayaannya itu.