HCTM Jadi Hospital Kedua Beri Vaksin Secara Pandu Lalu


Oleh Asmahanim Amir

Foto Noorashikin Yusof

CHERAS, 4 Jun 2021 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi hospital universiti kedua sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institusi Pengajian Tinggi yang menyediakan pemberian vaksin secara pandu lalu dan yang pertama menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin bergerak (mobile).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pemberian vaksin melalui kaedah pandu lalu itu akan memfokuskan kepada penerima dalam kalangan penduduk di kawasan bandar dan luar bandar.

“Kaedah pandu lalu ini memfokuskan kepada mereka yang mempunyai masalah capaian akses vaksin, masalah kemudahan kenderaan dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya pelaksanaan program pemberian vaksin secara pandu lalu dan bergerak, ia berupaya mempercepatkan proses pemberian suntikan, sekali gus membantu negara mencapai imuniti kelompok dalam tempoh lebih cepat.

“Ini adalah usaha kementerian (KPT) dalam menggerakkan tenaga kerja kesihatan Universiti Awam dan Hospital Pengajar Universiti untuk terlibat dalam PPV IPT supaya sasaran 150,000 dos vaksin sehari dapat dicapai menjelang akhir bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Adham Baba, meninjau simulasi pemberian vaksin secara pandu lalu di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK), UKM, di sini.

Katanya, KPT juga menerima permohonan daripada beberapa HPU yang lain termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menawarkan perkhidmatan pandu lalu.

“Kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan KKM berkenaan hal ini dan akan maklumkan semula selepas mendapat kelulusan.

“PPV Pandu lalu ini mestilah mempunyai kawasan yang luas dan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kriteria dan pelaksanaan pemberian vaksin secara pandu lalu sedang dibangunkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF),” ujarnya.

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, adalah perintis kepada kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu.