UKM Ringankan Beban Bakal Mahasiswa UA


Oleh: Mohamad Salleh Sulieman
Foto: Ikhwan Hashim

BANGI, September 25, 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengetuai delegasi Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin (Zon Utara) dalam usaha menghulurkan bantuan kepada beberapa bakal mahasiswa di zon utara yang terkesan dengan banjir yang melanda baru-baru ini.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, program Walkabout YB Menteri Pengajian Tinggi- Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin (Zon Utara) itu dicetuskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang prihatin dengan nasib bakal mahasiswa dari golongan B40 bagi sesi akademik 2021/2022.

Antara mahasiswa yang menerima bantuan tersebut ialah Muhammad Adi Hakim Ab Rahman,19, yang ditawarkan ke program Biologi, Fakulti Sains dan Teknologi UKM.

Adi Hakim yang merupakan anak tunggal dari keluarga B40 telah menerima bantuan asas seperti makanan, wang pendahuluan pinjaman, dan sebuah komputer riba dari HEP UKM.

“Saya bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan oleh pihak UKM yang banyak mengurangkan beban kami sekeluarga,” katanya yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

“Saya memang meminati subjek biologi sejak menuntut di sekolah menengah dan ingin sambung pengajian di UKM kerana universiti ini melahirkan ramai graduan berkualiti,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.

Mengulas lanjut, Naib Canselor UKM memberi kata-kata semangat kepada Adi Hakim dan berharap agar kecemerlangannya meraih PNGK 4.00 di peringkat matrikulasi dapat diteruskan di UKM.

“Saya yakin Adi Hakim akan sentiasa cemerlang dengan tekad dan iltizam yang melambangkan kecemerlangan produk universiti watan,” katanya.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada YB Menteri KPT atas keprihatinan bertemu dengan bakal mahasiswa UKM dan universiti lain iaitu UMS, UUM, UNIMAP, USM, UMT dan UiTM.

Lawatan tersebut turut menyaksikan kesudian Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad meluangkan masa menyantuni beberapa bakal mahasiswa di sana.