Alumni-UKM Kumpul RM460,335 untuk Pembelian POC dan PAPR
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan
CHERAS, 1 Oktober 2021 – Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya mengumpul sebanyak RM460,335 dalam tempoh sebulan bagi membeli Portable Oxygen Concentrator (POC) dan Power Air Purifying Respirator (PAPR) untuk disumbangkan kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata pengumpulan dana tersebut dibuat bermula Julai lepas setelah Pusat Perhubungan Alumni mendapat maklumat mengenai keperluan mendesak bagi peralatan POC dan PAPR oleh HCTM.
“Kita sangat bersyukur dalam tempoh sebulan kita telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM190,000 untuk pembelian POC dan RM127,785 untuk PAPR.
“Dengan dana berjumlah RM317,785 tersebut, sebanyak 50 unit POC dan 14 unit PAPR akan disumbangkan kepada HCTM hari ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Serahan Peralatan Perubatan kepada HCTM, di sini, semalam.
Selain dari sumbangan tunai yang berjaya dikumpul tersebut, katanya, terdapat juga beberapa individu, kumpulan serta keluarga yang terdiri daripada warga UKM, alumni serta masyarakat yang memilih untuk membeli peralatan dan menyumbang terus kepada HCTM.
“Sebanyak 30 unit POC dan satu unit PAPR telah disumbangkan secara terus melalui projek ini. Dengan itu, suka saya mengumumkan jumlah keseluruhan sumbangan adalah sebanyak 80 unit POC dan 15 unit PAPR dengan nilai sumbangan berjumlah RM460,335. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua yang menyumbang,” katanya.
POC diperlukan bagi membantu para pesakit COVID-19 khususnya, dan PAPR pula digunakan oleh para barisan hadapan yang merawati pesakit COVID-19.
Beliau berharap agar keprihatinan dan usaha murni warga UKM, alumni dan masyarakat akan berterusan dalam membawa aspirasi UKM untuk terus berbakti kepada masyarakat yang memerlukan kerana selain daripada menyumbang, satu lagi kebaikan yang dapat dimanfaatkan adalah menjalin semula hubungan dengan alumni yang terpisah dan membina semula kerjasama baharu.
Sementara itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Ir. Dr. Mohd. Syuhaimi Ab. Rahman berkata hebahan-hebahan permohonan sumbangan yang dikeluarkan daripada Pusat Perhubungan Alumni telah disambut baik oleh para alumni.
“Kami turut menerima sumbangan 10 unit POC dan 1,050 unit Isolation Coverall Suit dari Presiden Sayling Wen Cultural & Educational Foundation melalui Association of Global Industry Academia Collaboration Malaysia,” katanya.
Katanya beliau berharap agar alumni akan terus melibatkan diri secara aktif dalam menyumbang semula kepada alma mater bagi kebaikan pelajar, warga UKM, alumni dan masyarakat.
“Untuk makluman semua kutipan sumbangan daripada alumni UKM sejak Januari 2021 hingga September 2021 adalah berjumlah RM1,022,725.43. Satu pencapaian besar pada tahun ini,” katanya.