Program Sembang Seni Satukan Budayawan Seluruh Nusantara


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 18 Oktober 2021 – Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat pertama kalinya mengambil inisiatif mengadakan program Sembang Seni bertemakan Melestarikan Kebudayaan dan Kesenian Ketika Pandemik yang menghimpunkan enam ahli panel dari negara serumpun iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim berkata program itu merupakan satu platform yang terbaik dalam usaha memartabatkan bidang kebudayaan dan kesenian serta budayawan seni seluruh nusantara.

“Di samping dapat terus melestarikan bidang kebudayaan dan kesenian mengikut norma baharu, program seumpama ini juga dapat meningkatkan apresiasi seni dan budaya dalam kalangan mahasiswa serta generasi muda amnya,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Program Sembang Seni baru-baru ini.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, katanya, program itu dapat menyumbang serta memperkasa kemajuan pendidikan dan pengembangan ilmu seni dan budaya melalui perkongsian kepakaran, ilmu dan amalan seni budaya kepada generasi masa kini.

“Besarlah harapan saya, semoga apa yang kita laksanakan pada malam ini akan terus mendorong kerjasama pada masa akan datang dalam menjalinkan hubungan yang erat antara Universiti Kebangsaan Malaysia bersama universiti-universiti rumpun nusantara dalam pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dr. Tan Awang Besar berkata beliau yakin majlis seumpana itu mampu mengeratkan hubungan silaturahim, kemesraan, Kerjasama dan penyatuan antara negara serumpun.

“Melestarikan seni, budaya dan identiti bangsa merupakan tema sembang seni yang dipilih selari dengan usaha UKM dan Pusat Kebudayaan untuk melestarikan bidang kebudayaan dan kesenian.

“Selain dapat menyumbang kepada bidang pendidikan dan pengembangan ilmu seni dan budaya senusantara, program ini berupaya merapatkan jurang hubungan kerjasama dan persefahaman antara kita semua melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan amalan seni dan budaya, malahan ia juga dapat mendekatkan generasi baharu kepada budaya warisan bangsa,” katanya.

Program yang diadakan melalui aplikasi Zoom dan Facebook Live itu menampilkan  Dato’ Ahmad Tamimi Siregar dari Malaysia, Dr. Supriatna S.Sn M.Sn dan Mohammad Hang Kafrawi dari Indonesia, Dr. Mohammed Zefri Ariff Mohammed Zain Ariff (Brunei), Salleh Buang (Singapura) dan Nik Abdul Rakib Nik Hassan dari Thailand.