Suami Isteri Genggam PhD Bersama


Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 5 Disember 2021 – Pasangan suami isteri, Dr. Ridhuan Remly dan Dr. Siti Nor Azimah Sabaruddin, mencipta kenangan manis apabila berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bersama, selepas tujuh tahun berjuang.

Dr. Ridhuan berkata kejayaan untuk begraduasi bersama itu adalah impian mereka sejak diawal perkahwinan.

“Pada mulanya, saya yang mendaftar dahulu. Setahun kemudian, isteri saya turut sama mengikut jejak langkah saya. Bila saya dan isteri buat PhD sekali, fokus kami hanya study sahaja. Hujung minggu dan cuti kami datang UKM, tiada masa pergi berjalan. Sampai ada masa kami tidur kat Perpustakaan Tun Sri Lanang, tidur dalam kereta, makan bungkus tepi jalan. Itu semua rutin hujung minggu kami.

“Alhamdulillah, Perpustakaan Tun Sri Lanang sangat membantu, ada surau, ada semua kelengkapan yang cukup selesa,” kata graduan PhD dari Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Beliau berkata walaupun mereka berdua dalam fakulti yang sama, tetapi bidang penyelidikan mereka adalah berbeza.

“Saya menjalankan kajian lapangan di Kelantan manakala isteri di Darul Quran, Kuala Kubu Baru. Ia memerlukan kami bermusafir dengan kerap dan menghabiskan masa di perpustakaan sehingga larut malam memandangkan ketika itu saya bertugas di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong,” katanya.

Sementara itu, Dr. Siti Nor Azimah berkata sepanjang tujuh tahun pengajiannya, beliau mengalami tekanan emosi yang hebat apabila keguguran sebanyak tujuh kali.

“Walaupun keguguran dialami sebelum ini menjejaskan kesihatan saya, namun saya tekad meneruskan pengajian. Saya juga turut membawa komputer riba ke dalam wad bagi menyiapkan penulisan tesis.

“Saya sentiasa positif dan beranggapan ia adalah ujian kepada saya dan suami, dalam masa yang sama emosi perlu dikawal dan suami banyak memberi sokongan moral,” katanya yang kini bertugas sebagai pensyarah di UiTM, Dengkil.

Katanya, bagi beliau anak itu adalah anak syurga dan beliau menganggap ia adalah nikmat yang diberikan Allah dan berharap selepas ini ada peluang menimang cahaya mata.

Pasangan itu mengucapkan terima kasih atas usaha Kementerian Pengajian Tinggi yang memberi tajaan biasiswa selama tiga tahun melalui program MyBrain15. Selain itu, Pusat Zakat UKM juga banyak memudahkan urusan dengan bantuan kewangan yang disalurkan untuk beberapa semester.

Kedua-dua mereka ini adalah antara 7,709 orang graduan yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-49 yang diadakan secara fizikal bermula 27 Novemver hingga 8 Disember 2021.