UKM Buka Peluang Kakitangan TEKUN Nasional Sambung Belajar


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

Kuala Lumpur, 17 Mac 2022 – Kakitangan TEKUN Nasional yang berkelayakan kini boleh meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi program Sijil Profesional Pengurusan Kewangan yang ditawarkan.

Penawaran program itu dibuat setelah termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan TEKUN Nasional baru-baru ini.

Program Sijil Profesional Pengurusan Kewangan itu akan dikendalikan oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) melalui UKMShape dan akan dijalankan pada akhir Mac ini secara hidbrid dengan mod pengajian secara modular.

Menurut Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin, Sijil Profesional Pengurusan Kewangan adalah medium pembelajaran sepanjang hayat yang dibangunkan bersama UKMShape dengan kepakaran dari ahli akademik FEP dalam membangunkan tahap akademik kakitangan TEKUN Nasional.

“Terdapat sembilan kursus yang akan dipelajari oleh kakitangan TEKUN yang terlibat iaitu mengurus organisasi, keusahawanan dan pendigitalan, tingkah laku pekerja dalam organisasi, pemasaran untuk pengurus dan selebihnya melibatkan perakaunan dan kewangan.

“Dengan keterlibatan seramai 13 orang ahli FEP yang pakar dalam bidang masing-masing, ia dapat meningkatkan lagi tahap akademik warga kerja TEKUN Nasional,” katanya semasa menyampaikan ucapan pasa Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan TEKUN Nasional, di sini.

“Dalam memperkasakan peranan UKM sebagai Universiti Watan, jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak industri seperti ini adalah salah satu usaha penting untuk memasyarakatkan penyelidikan UKM.

“Kerjasama seperti ini juga dapat memberikan penyelidik UKM dimensi baharu melalui sumbangan idea dan sumbang saran pihak-pihak yang berkepentingan dalam sesuatu bidang tujahan penyelidikan,” katanya.

Melalui program ini, pelajar akan didedahkan dengan kemahiran praktikal dalam bidang pengurusan kewangan dan mempamerkan tingkah laku yang beretika dan profesional dalam pengurusan kewangan.

Hasil pengajaran dan pembelajaran bagi program itu diharap dapat membentuk pelajar supaya dapat mengaplikasikan pengetahuan dalam bidang pengurusan kewangan bagi pembuatan keputusan.

Pertukaran dokumen MoU itu disempernakan oleh Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin dan Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Dato’ Adam Abdul Ghani.