Bijak Kawal Emosi Kunci Kejayaan Penerima Anugerah Pelajaran Diraja


Oleh Nurfaizatul Huda Ahmad
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 26 November 2022 – Penerima Anugerah Pelajaran Diraja di Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-50, Muhammad Khairul Izzat Haridan, 23, beranggapan pengurusan emosi yang baik membantu beliau mengekalkan keputusan yang cemerlang sepanjang pengajiannya.

Menurut beliau, cabaran utama yang dihadapi oleh para pelajar universiti pada hari ini adalah tekanan akibat lambakan tugasan, masalah pengurusan masa dan masalah peribadi yang dilihat boleh mengganggu prestasi dan pengajian.

“Tidak dinafikan, saya juga pernah berdepan dengan tekanan ketika belajar namun saya memilih untuk menguruskannya sebaik mungkin dan berkongsi dengan ibu bagi mendapatkan bantuan serta nasihat untuk rasa lebih tenang.

“Selain itu, para pelajar janganlah berasa malu untuk mendapatkan nasihat dari kaunselor bertauliah yang ada di UKM kerana ia boleh membantu kita mengurus diri dan tekanan dengan lebih sistematik,” katanya.

Tambahnya, pengurusan stres ini sangat penting kepada pelajar kerana jika tidak dikendalikan dengan baik dari peringkat awal, ia boleh berlanjutan sehingga pelajar menamatkan pengajian dan masuk ke alam pekerjaan.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Ahli Geologi Kejuruteraan di GMT Group, berkongsi bahawa salah satu petuanya sebelum menghadiri kelas adalah memperbetulkan niat selain memulakan hari dengan solat dhuha dan bacaan ayat suci Al-Quran.

“Setiap hari sebelum saya bergerak menghadiri kelas, saya memasang niat di dalam hati dan berdoa agar dikurniakan ilmu yang baik dan bermanfaat buat diri saya,” tambahnya.

Beliau juga tidak suka melengah-lengahkan tugasan kerana setiap tugasan yang dilakukan di awal waktu adalah lebih berkualiti kerana mempunyai ruang masa untuk menyemak semula sebelum diserahkan kepada pensyarah untuk penilaian markah.