Semua Kanak-kanak Kurang Upaya Akan Diberi Pendidikan Yang Diperlukan

KHAMIS, 24 APRIL 2014 08:09

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 22 Apr 2014 – Sebuah Pusat Kebangsaan Autisme akan ditubuhkan bulan Mei 2015 nanti sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan yang diperlukan kepada semua kanak-kanak termasuk mereka yang kurang upaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata projek Permata Kurnia akan dijadikan sebagai sebuah pusat kecemerlangan kebangsaan autisme iaitu suatu lagi usaha menolong kanak-kanak autistik.

Merasmikan Seminar Antarabangsa mengenai Autisme 2014 di sini hari ini anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Autism Speaks, Najib berkata pusat itu diasaskan dengan tujuan untuk bertindak sebelum masalah itu menjadi lebih berat.

Seminar dua hari itu dihadiri oleh lebih 1,000 peserta tempatan dan luar negara. Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah penaungnya.

“Memandangkan penambahan luar biasa kanak-kanak mengidap autisme di peringkat global, kerajaan telah bertindak secara proaktif dengan menyediakan usaha campur tangan awal yang menyeluruh untuk menyokong dan memberi kuasa kepada keluarga selain memastikan bilangan pekerja profesional yang mencukupi dan berkesan dalam bidang autisme,” katanya.

Autisme merangkumi semua jenis gangguan perkembangan otak hingga menyebabkan mereka yang menghidapinya sukar berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang serta mempunyai tingkah laku berulang-ulangan.

Najib berkata seramai kira-kira 300 kanak-kanak autistik berumur antara 2 hingga 6 tahun akan diberi pendidikan khas di bawah PERMATA Kurnia, ia itu suatu projek khas untuk kanak-kanak autistik yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Setiap kanak-kanak autistik berusia lima tahun juga dikehendaki memasuki taska berdaftar di mana setiap gurunya perlu memiliki kelayakan diploma,” kata Najib.

Ia juga adalah suatu projek di mana pengendalinya terdiri daripada satu pasukan pelbagai disiplin termasuk pendidikan awal, terapi pertuturan dan terapi pergerakan. Ia adalah sebagai usaha menyediakan perkhidmatan menyeluruh untuk kanak-kanak autistik.

Projek itu akan menjadi penanda aras dalam usaha melaksanakan amalan penjagaan autisme terbaik yang akan menjadi teladan untuk pusat-pusat seumpama pada masa hadapan.

Turut hadir pada pelancaran itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Canselor UKM Profesor Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali, Dekan Fakulti Pendidikan Prof Lilia Halim dan Dekan Fakulti Sains Kesihatan Prof Dr Siti Zamratol-Mai Sarah Mukhari.