Menyediakan Sumber Manusia Mahir Untuk Mengendali Loji Nuklear

RABU, 16 APRIL 2014 11:05

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 15 April 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang membuat persiapan untuk mengeluarkan tenaga pekerja mahir yang diperlukan untuk menjalankan loji kuasa nuklear dengan selamat.

Suatu perjanjian persefahaman telah dimaterai di sini hari ini antara UKM dengan Persatuan Kerjasama Antarabangsa Nuklear Korea (KNA) bagi menyediakan sumber manusia yang diperlukan itu.

Ia membolehkan UKM menawarkan program pasca ijazah dalam Kejuruteraan Nuklear dan Tenaga Nuklear seawal 2015. Kerjasama dengan KNA itu akan membolehkan mereka mendapat pendedahan yang betul serta pengalaman mengendalikan loji nuklear dengan baik dan selamat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat yang menandatangani perjanjian itu untuk UKM berkata pelajar UKM akan mendapat manfaat daripada pengetahuan teknikal industri nuklear Korea.

KNA, adalah Persatuan Nuklear Korea yang mewakili 12 syarikat pembinaan dan pelbagai syarikat yang terlibat dalam teknologi nuklear. Mereka, adalah syarikat terbaik yang dapat membantu menyokong UKM dalam usaha itu, katanya.

Presiden KNA Hong Jun Ahn berkata bahawa mereka mengkagumi UKM dan berterima kasih kerana diberi peluang untuk memainkan peranan menyediakan tenaga manusia yang diperlukan sesebuah loji nuklear.

Beliau berkata tenaga nuklear telah meningkatkan ekonomi Korea dan menjadikannya sebagai pengeksport tenaga nuklear yang ke-3 terbesar di dunia menjelang tahun 2030.

Malah kepakaran Korea telah membolehkannya membantu negara membangun seperti Emeriah Arab Bersatu (UAE) untuk membina loji kuasa nuklear.

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Prof Dr Shahrim Hj Ahmad dan Delegasi dari KNA.