Anugerah Doktor Honoris Causa Eratkan Hubungan UKM-UNPAD

KHAMIS, 29 NOVEMBER 2012 17:47

Oleh Rejal Arbee
Foto Idham

BANDUNG, 29 Nov 2012 – Kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Univeritas Padjadjaran Indonesia (Unpad) akan bertambah erat dengan penganugerahan Doktor Honoris Causa dari Unpad kepada Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin kelmarin.

Rektor Unpad, Prof Ir Dr Ganjar Kurnia menganggapkan pengurniaan Doktor Honoris Causa suatu lagi usaha menambahkan kemesraan antara kedua universiti itu dengan Prof Sharifah kini diiktiraf sebagai seorang anggota baru keluarga Unpad.

Beliau telah menyatakannya melalui dua rangkap pantun yang disampainkannya ketika menutup istiadat pengurniaan itu. Pantun-pantun itu adalah:

Jalan-jalan ke Sumedang
Jangan lupa membeli tahu
Sungguh sangast menyenangkan
Unpad punya keluarga baru.

Dan

Jangan lupa kail dan jala
Untuk mancing di Samudra
Prof Tan Sri Dato’ Wira mendapat Doktor Honoris Causa
Unpad-UKM bertambah mesra.

Jalinan kerjasama keilmuan antara kedua universiti itu telah bermula secara formal sejak 1985 lagi dengan bermulanya Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia (SKIM) yang berlanjutan hingga sekarang setiap dua tahun dengan diadakan secara berselang seli antara Bandung dan Bangi. Kali terakhirnya berlangsung di Bangi awal tahun ini.

Prof Sharifah Hapsah juga menganggapkan penghormatan yang diberikan kepadanya akan semakin memperkukuhkan silaturrahim antara kedua universiti itu dengan serangkap pantunnya:

Hendak belayar ke Pulau Betung
Sambil cuba menabuh pukat
Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia kerana muafakat

Beliau berkata jalinan keilmuan itu telah semakin kukuh dengan wujudnya program kerjasama dalam bidang kedoktoran di mana sejumlah antara 40 hingga 50 mahasiswa kedoktoran UKM memulakan pengajian pre klinikal mereka di Unpad selama tiga tahun dan diikuti dengan pengajian klinikal selama tiga tahun lagi di Fakulti Perubatan UKM.


Program yang dimulai tujuh tahun lalu telah menghasilkan 40 orang graduan sulungnya dalam majlis konvokesyen UKM ke 40 baru-baru ini.

Kini terdapat hampir 130 orang yang sedang mengikuti kursus itu di Fakulti Kedoktoran Unpad. Mereka telah hadir dalam satu upacara menemui Prof Sharifah Hapsah di Auditorium Fakulti itu di tengah-tengah bandaraya Bandung malam tadi.

Turut hadir Dekan Fakulti Perubatan, Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali dan Dekan Fakultas Kedoktoran Unpad, Prof Dr Tri Honggono Achmad.

Prof Sharifah Hapsah menasihati mahasiswa Malaysia itu supaya bergaul dengan masyarakat setempat untuk memahami budaya dan kehidupan rakyat Bandung.

Mereka juga dinasihati selain belajar dan mengikuti kuliah harus bermesra dan bercampur gaul serta memperbaiki perhubungan dengan warga universiti dan masyarakat setempat untuk mengetahui budaya dan selok belok kemasyarakatan.

Kebolehan demikian penting untuk menjadi doktor yang baik kerana seorang doktor sememangnya perlu boleh berinteraksi dengan pesakit dan keluarga mereka.

UKM, katanya, menghendakan graduannya yang bukan sahaja mahir dan berkebolehan tetapi juga mempunyai pandangan global.