Malaysia Berpotensi Menjadi Hab Serantau Ekonomi Hijau
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
BANGI, 12 Nov 2012 – Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi hab serantau dalam ekonomi hijau pada masa hadapan kerana ia mempunyai bakat dan idea-idea inovatif dalam bidang itu.
Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Sopian percaya Malaysia juga mempunyai potensi tinggi untuk menjadi kuasa besar dalam kehidupan yang menerapkan kehendak ‘hijau’ berasaskan kepada teknologi hijau.
Kemajuan Malaysia dalam bidang ini adalah luar biasa dan meningkat pada kadar yang amat membanggakan, kata Prof Kamaruzzaman.
Malaysia, katanya, mempunyai banyak kisah kejayaan dalam pelaksanaan teknologi hijau seperti dalam sektor tenaga, sektor pembinaan, sektor pengurusan air dan sisa serta sektor pengangkutan.
Malaysia juga telah memperkenalkan ‘Indeks Bangunan Hijau’ yang memberi penilaian Platinum, Emas, Perak dan Pengitirafan kepada bangunan mengikut tahap ‘kehijauannya’ dengan memberi tumpuan kepada kecekapan penggunaan sumber di samping mengurangkan kesan sesuatu bangunan terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar mengikut reka bentuk, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan sesuatu bangunan.
Hidup hijau dan ekonomi hijau adalah usaha yang lebih baik untuk menjamin wujudnya kesejahteraan dalam kehidupan manusia dengan mengurangkan risiko kepada kemusnahan alam sekitar dan kesan buruk terhadap ekologi, kata Prof Kamaruzzaman.
SERI baru-baru ini telah memenangi Pingat Emas dalam “Acara Penganugerahan Teknologi Hijau Malaysia 2012″ untuk kategori “Greetech Universiti”.
Beliau berkata kepentingan “hidup hijau” adalah aplikasi konsep pengurusan yang bersih, teknologi bersih dan dasar-dasar kemampanan dalam usaha untuk memelihara alam sekitar dan sumber selain dapat mengurangkan kesan negatif penglibatan manusia dalam berbagai aktivitinya.
Beliau menyanjungi usaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air meningkatkan penerapan teknologi hijau dalam negara dan telah pun melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara pada 24 Julai 2009.
Anugerah Teknologi Hijau Malaysia 2012, katanya, adalah suatu pengiktirafan terhadap usaha dan inisiatif yang diambil oleh individu, syarikat dan organisasi untuk meningkatkan pemeliharaan alam sekitar atau membawa perubahan yang telah memberi manfaat kepada alam sekitar serta menyumbang secara berkesan ke arah kejayaan membangunkan teknologi hijau di Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa anugerah itu mengitirafi pertubuhan yang memberi penekanan kepada aspek tenaga yang boleh diperbaharui, penyelidikan dan pembangunan, komunikasi kemampanan dan inovasi yang penting dalam transformasi masa depan menggunakan teknologi hijau.
Kemenangan SERI, katanya, adalah suatu pengitirafan terhadap usaha dan peranannya menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat berlandaskan kepada kehendak hijau dengan juga menggunakan teknologi tenaga diperbaharui seperti tenaga suria yang telah dimantabkannya untuk meningkatkan pembangunan ekonomi masyarakat setempat.
Penganugerahan itu mengakui sumbangan SERI dalam lima usahanya ke arah pembangunan masyarakat seperti penubuhan industri pembuatan panel menjana tenaga suria di sebuah kampung di Terengganu; sistem mengeringkan ikan menggunakan tenaga suria di suatu kawasan pedalaman di Kemboja yang digunakan UNIDO (suatu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu); pengeringan rumpai laut menggunakan tenaga suria di Sabah; pengeringan ikan di Pontian juga menggunakan tenaga suria dan sistem hidro Pico di Kampung Tuel, Kelantan juga menggunakan tenaga suria.
Naib Canselor UKM, Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin sambil berbangga dengan pencapaian SERI itu berkata bahawa “pihak pengurusan atasan UKM sentiasa menyokong SERI sebagai suatu komponen penting untuk nic penyelidikannya mengenai ‘Tenaga Boleh Diperbaharui’.
Sejak penubuhannya pada tahun 2005, SERI telah menerima bantuan berjumlah RM15 juta untuk melaksanakan penyelidikannya dan telah berjaya menghasilkan sejumlah 200 buah penulisan dalam jurnal dan prosiding, menerima 30 paten, 4 hak cipta dan 4 cap dagang.
Ia kini telah mendaftarkan lebih 50 orang calon untuk ijazah PhD dan pada Konvokesyennya baru-baru ini, UKM telah menganugerah dua ijazah PhD dan satu ijazah sarjana dalam pengajian Tenaga Diperbaharui, yang pertama seumpamanya diberikan di rantau ini.
Dato’ Kamaruzzaman berhasrat pada suatu masa kelak produk, sistem dan proses yang tidak “hijau” atau mesra alam tidak akan digunakan lagi.
Teknologi hijau akan menjadi teknologi masa hadapan yang bukan sahaja dapat memelihara alam sekitar malah boleh pula meningkatkan pemeliharaannya selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan untuk semua.