Pameran Foto Hubungan Diplomatik Malaysia dan China

SELASA, 19 JUN 2012 18:23

By Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 19 Jun 2012- Gambar-gambar yang jarang ditemui mengenai hubungan diplomatik antara Malaysia dan China sedang dipamerkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai hari ini. Pameran tersebut diadakan sempena 38 tahun hubungan diplomatik antara mereka.

Pameran foto itu dianjurkan oleh Agensi Berita Xin Hua dengan kerjasama Pertubuhan Pelajar China Malaysia (MACSA) dan UKM untuk membolehkan orang ramai melihat foto yang menggariskan perkembangan hubungan diplomatik antara kedua negara itu.

Antara foto yang menarik yang dipamerkan ialah perjumpaan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein dengan mendiang Pemimpin China Mao Zedong ketika beliau mengunjungi China pada tahun 1974 .

Pameran itu memaparkan pertalian diplomatik yang kukuh dan persahabatan yang mendalam yang telah di rekodkan dalam bentuk foto.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin ketika merasmikan pameran itu berkata sejak Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik dengan China pada 1974, persahabatan itu semakin kukuh dengan peningkatan hubungan dan perdagangan antara kedua negara demi kepentingan rakyat mereka.

UKM kini menampung lebih dari 120 orang pelajar dari China dan berhasrat untuk menambah lagi bilangan mereka itu belajar di sini.

Selain dari perdagangan, China juga menempatkan Kerusi Pengajian Melayu, iaitu antara lima negara yang mempunyai kerusi demikian atas biayaan kerajaan Malaysia.

 

Prof Sharifah Hapsah berkata keutuhan pertalian persahabatan antara kedua negara dimantapkan lagi apabila China bersetuju meminjamkan dua ekor beruang panda yang akan ditempatkan di Wetlands Park di Putrajaya.

Ketua Pewarta Biro Agensi Berita Xin Hua di Kuala Lumpur, Hu Guangyao berkata persahabatan antara kedua negara itu telah bermula semenjak 600 tahun yang lalu, apabila Zheng He telah diperintahkan oleh Maharaja China ketika itu, untuk belayar ke ‘laut barat’ benua itu.

Malaysia adalah pusat ‘laut barat’ yang dimaksudkan pada masa itu. Selepas pelayaran Zheng He, pertalian antara Malaysia dan China telah menjadi semakin rapat.

Beliau yakin persahabatan kedua negara itu akan bertambah kukuh dari masa ke semasa.

Pengarah Pejabat Hubungan Alumni, Prof Dato Dr. Laily Din berkata UKM boleh menjadi pemangkin dan platform kerjasama antara kedua negara yang boleh di perkukuhkan melalui Alumni UKM di China.

Prof Ezra Vogel dari Harvard University; Huang Bin, Presiden MACSA, Pengarah Institut, Ketua Jabatan, pensyarah dan pelajar turut hadir di upacara perasmian pameran gambar itu.