Pelajar Perlu Ingatkan Perasaan Ibu Bapa Bila Bertindak
Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim, Penerbit UKM
BANGI, 23 Mei 2012- Pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi diingatkan tidak menghampakan harapan ibu bapa dengan melibatkan diri dalam aktiviti negatif seperti demonstrasi jalanan yang boleh menjejaskan pembelajaran mereka.
Timbalan Menteri Sumber, Senator Dato’ Maznah Mazlan berkata pelajar harus mengenangkan pengorbanan ibu dan bapa mereka hingga membolehkan mereka belajar di universiti.
Berucap di Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 70 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, beliau berkata mereka sepatutnya menumpukan perhatian kepada pengajian dan memanfaatkan pengalaman mereka di universiti.
Setiap seorang pelajar tahun satu itu menerima chek bernilai RM1500. PTPTN adalah institusi kerajaan yang memberi pinjaman kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi baik awam mahupun swasta.
Beliau mengingatkan pelajar supaya mengunakan duit pinjaman PTPTN sebaik mungkin dan harus membayar balik pinjaman mereka apabila telah tamat pelajaran dan sudah bekerja. Setiap hutang hendaklah dibayar.
Datuk Maznah mengingatkan pelajar berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan pengajian mereka. Mereka juga harus sedar mereka kini bertanggungjawab ke atas tindak tanduk sendiri.
Beliau juga menasihati mereka bergaul dan berinteraksi dengan pelajar dari semua bangsa yang ada di universiti di mana mereka belajar untuk memperkayakan pengalaman. Ini akan membolehkan mereka menghargai perbezaan dan masalah yang dihadapi oleh kaum lain dan dapat pula menerima perbezaan yang wujud diantara berbagai kaum.
Adalah amat merugikan jika pelajar hanya menumpukan kepada pencapaian akademik sahaja, kerana terlalu banyak manfaat yang dapat digarap dari sudut pembangunan modal insan ketika di universiti.
Sebagai contoh beliau menerangkan mereka yang mendapat peluang belajar di luar negara tidak harus memilih untuk bergaul sesama pelajar Malaysia sahaja. Ini amat merugikan dan mensia-siakan peluang yang diberi untuk memanfaatkan pergaulan dengan pelajar lain.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dr Othman A. Karim; Pengarah Biro Tata Negara, Bahagian Selangor, Mohd Zamri Kahar; wakil pengurusan PTPTN, Encik Rusdi Ismail dan para ibu bapa.