Pembabitan Universiti Membantu Masyarakat Dibincang
Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 8 Mei 2012- Suatu persidangan serantau bagaimana institusi pengajian tinggi boleh terbabit dalam usaha meleraikan masaalah kemiskinan dan alam sekitar yang membabit masyarakat sedang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.
Seramai 150 peserta dari 13 buah negara telah menghadiri mesyuarat tiga hari itu yang berakhir esok mengenai Keterlibatan Pengajian Tinggi-Komuniti –Industri Serantau: Menjalin Hubungan Bermakna Merentasi ASEAN dan Asia.
Pembabitan masyarakat adalah apabila institusi pengajian tinggi menjalankan aktiviti yang dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat seperti melengkapkan kemahiran keusahawanan kepada golongan miskin supaya mereka boleh berdikari.
Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam ucapan aluannya berkata pembabitan universiti dalam masyarakat bukanlah perkara baru kerana ia sudah menjadi suatu misi bagi institusi pengajian tinggi.
Bagaimanapun penglibatan universiti dalam aktiviti demikian perlu dipesatkan supaya masaalah yang dihadapi sesuatu masyarakat dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Sudah wujud semacam suatu kontrek antara universiti dan masyarakat di mana universiti boleh menyumbang ilmu yang ada padanya untuk dimanfaatkan bagi kepentingan masyarakat.
Beliau memberi beberapa contoh penglibatan UKM yang telah memanfaatkan masyarakat seperti penubuhan Pusat PERMATApintar Negara untuk mendidik kanak-kanak pintar.
UKM turut memberi perhatian kepada remaja terpinggir seperti Mat Rempit yang selalunya dilupakan dan dilabel sebagai delinkuan.
Melalui program Perkasa Remaja mereka itu telah berjaya dididik menjadi insan berguna kepada masyarakat. Terdapat juga program untuk membantu ibu tunggal dapat berdikari melalui usaha perniagaan secara kecil-kecilan untuk menyara keluarga mereka.
Prof Sharifah Hapsah juga menyatakan perlunya diadakan pendekatan yang bersepadu yang melibatkan semua sektor seperti NGO dan rakan industry untuk memberi impak yang lebih berkesan dan bermakna.
Penglibatan mereka itu bagaimana pun harus mengambil kira soal kelestarian sesebuah projek. Ini adalah untuk memastikan setiap usaha yang dijalankan akan berjaya dan tidak terkandas setengah jalan.
Naib Pengurusi Jawatankuasa Pemandu Talloires Network, Professor Janice Reid yang juga Naib Canselor University of Western Sydney ketika berucap dalam sesi plenari berkata pusat pengajian tinggi mempunyai tanggung jawab untuk mengetahui masaalah yang dihadapi masyarakat serta berusaha membantunya.
Institusi pengajian tinggi kini tidak lagi dianggap sebagai menara gading dan gedung ilmu sahaja tetapi dikehendaki memberi sumbangan kepada masyarakat.
Penglibatan universiti dengan masyarakat akan menghasilkan graduan yang mempunyai kesedaran sosial serta berasa bertanggung jawab untuk menyumbag kepada masyarakat.
Penglibatan universiti dalam komuniti juga akan meningkatkan kualiti pelajaran di universiti selain turut menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi. Graduannya akan lebih aktif dalam usaha memerangi kemiskinan. Hasilnya masyarakat sendiri akan memberikan sokongan yang lebih kuat kepada univeresiti.
Aktiviti demikian juga harus dijalankan secara terancang dan bersepadu dan mencakupi pelbagai aspek kehidupan seperti alam sekitar, sosial dan ekonomi.
Persidangan itu dianjurkan oleh UKM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Taillores Network, ASEAN University Network dan ASEAN.
UKM, juga adalah Sekretariat AsiaEngage dan melaluinya menerajui tiga buah jaringan universiti-universiti di ASEAN iaitu: Asia-Talloires Network of Industry and Community Engaged Universities (ATNEU), ASEAN University Network on University Social Responsibility and Sustainability (AUN-USR&S) dan ASEAN Youth Volunteer Programme (AYVP).
AsiaEngage menyediakan platfom kepada institusi pengajian tinggi, NGO, yayasan dan industri untuk bekerjasama dan berhubungan untuk aktiviti yang membabitkan masyarakat.
Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill; Presiden of Soceity of Participatory Research Asia, Rajesh Tandon dan peserta dari Brazil, Brunei, Cambodia, Hong Kong, India, Japan, Pakistan, Philipines, Taiwan, Thailand, Vietnam dan Malaysia turut hadir.