UKM akan menggalas tugas penyelidikan dan pembangunan tenaga manusia bagi pengurusan tenaga nuclear

SELASA, 01 JUN 2010 09:56
BY ABDUL GHANI NASIR

BANGI, 31 Mei – UKM yang terkehadapan dalam pendidikan nuklear di Malaysia  akan menggalas tugas lebih berat dalam bidang penyelidikan dan peningkatan tenaga mahir untuk pengurusan tenaga nuklear.

Sejajar kehendak ini ia sudah pun memeterai perjanjian dengan Lembaga Pelesenan Atom Malaysia yang memberi tugas kepada Fakulti Sains dan Teknologi UKM mengurus soal teknikal mengenai sains dan kejuruteraan nuklear manakala Fakulti Undang-undang pula menangani aspek-aspek Undang-Undang Nuklear, protokol dan perjanjian-perjanjian berkaitan peraturan dan pelesenannya.

Mengumumkan ini, Naib Canselor  Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata langkah memeterai Perjanjian Menyekat Penularan di samping mengemukakan Rang Undang-Undang Perdagangan Strategik di Parlimen adalah bukti komitmen penuh Malaysia dalam memastikan penggunaan tenaga nuklear hanya untuk keamanan.

Berucap merasmikan “Bengkel Tenaga Nuklear UKM-TODAI” di Hotel Equatorial, Bangi pagi ini beliau berkata bahawa masih banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum ia dapat melaksanakan hasratnya itu. Ucapannya dibacakan oleh Prof Emeritus Datuk Dr Noramly bin Muslim.

Bengkel berjudul: Pertimbangan-pertimbangan Penting dalam Memperkenalkan Kuasa Nuklear di Negara-negara Asean: Bolehkah Kerjasama Serantau Jadi Daya Penarik bagi Pembangunan Nuklear? dihadiri 33 orang pakar dari Vietnam, lndia, Kazakhstan, Mongolia, Amerika Syarikat, Switzerland, China, Taiwan, Korea, Australia,  Singapura, Jepun dan Malaysia.

Ini adalah bengkel ketiga dianjurkan oleh Universiti Tokyo Jepun dan pertama di Malaysia dengan UKM menjadi penganjur bersama dan tuan rumah.

Di Asean Vietnam dan Indonesia sedang merancang membina siap Loji Kuasa Nuklear (NPP) mereka dalam dekad akan datang.

Malaysia sudah pun mengumumkan awal bulan ini bahawa ia akan mendirikan logi kuasa nuklearnya (NPP) yang akan mula beroperasi menjelang tahun 2021.

“Bagaimanapun, banyak isu yang harus ditangani sebelum NPP dapat digunakan. Selain pelaburan modal yang pastinya lebih daripada loji penjana elektrik konvensional, tanggapan orang ramai, aspek perlembagaan dan pengetahuan teknologi juga harus diuruskan.

“Pelbagai tugas berat berada di depan kita yang harus dihadapi dan diatasi jika setiap sebuah negara memutuskan untuk mengatasinya sendirian,” kata Prof Tan Sri Sharifah Hapsah.

Beliau berkata pada masa ini lebih daripada 400 NPP sedang digunakan di seluruh dunia menjana hampir 17% daripada keseluruhan pengeluaran elektrik. Sesetengah negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Perancis telah menggunakan NPP lebih daripada 30 tahun.

Lantas kedudukan sekarang dimana terdapat kesediaan untuk menerima penggunaan kuasa nuklear bagi menjana elektrik boleh mendatangkan faedah kepada Negara-negara yang sudah pun mempunyai NPP mereka.

“Pengalaman besar dan pengetahuan mereka diharapkan dapat dikongsi bersama serta dipelajari oleh negara-negara baru hendak menggunakan tenaga nuklear atau negara yang memutus memilikinya di masa depan,” tegas beliau.

Prof tan Sri Dr Sharifah Hapsah menjelaskan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kuasa nuklear menjadi pilihan lebih baik dalam menangani isu-isu global seperti mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil di samping mengurangkan penghasilan karbon dioksida dan pada masa yang sama memenuhi keperluan tenaga untuk masa depan.

Kini 85% daripada 14 juta megawatt elektrik dihasilkan seluruh dunia adalah dari pembakaran minyak fosil, satu proses yang mengeluarkan sebanyak 27 bilion ton karbon dioksida, gas rumah hijau ke atmosfera setiap tahun.

Diketahui karbon dioksida memberi kesan negatif terhadap iklim dunia yang diberitakan telah membawa kepada berbagai malapetaka di seluruh dunia. Malaysia, katanya, sudah menetapkan sasaran untuk mengurangkan penghasilan karbon sebanyak 40 peratus.

Salah satu cara mengurangkan pengeluaran gas itu adalah meluaskan penggunaan kuasa nuklear, satu-satunya sumber elektrik berskala besar selain hidroelektrik.

Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah menjelaskan dengan perkembangan terbaru dalam teknologi reaktor, jangka hayat loji yang ada boleh dilanjutkan sehingga melebihi 40 tahun tanpa mengenepikan keselamatan loji serta juga membina loji nuklear baru yang lebih mudah, murah, selamat dan kurang terdedah kepada bahaya tidak disengajakan.

Bagaimanapun bahan terpakai dari loji nuklear ia itu suatu perkara yang dikhuatiri ramai perlu diuruskan dengan selamat demi mengelakkan sebarang salahguna selain mengurangkan apa-apa kejadian yang tidak disengajakan, kata Prof Tan Sri Sharifah Hapsah.