Gagal Mendapat Pekerjaan Bukan Pengukur Kebolehan Seseorang: Kata Pemegang Hadiah Nobel
Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 8 Nov 2013 – Kegagalan mendapat pekerjaan tidak sepatutnya menjadi pengukur kebolehan seseorang insan kerana yang harus disalahkan ialah sistem yang telah dibina.
Demikian pendapat Professor Muhammad Yunus, penerima Anugerah Nobel dan Laureate Pemastautin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam suatu temuramah dengan Portal Berita UKM hari ini.
Beliau berkata pengangguran bukanlah salah mereka yang tidak mendapat pekerjaan tetapi ia disebabkan oleh sistem yang telah dibina yang menyebabkan banyak sumber manusia tidak digunakan.
Dengan itu setiap penganggur patut memikirkan untuk menjadi seorang yang memberi pekerjaan dan bukannya pencari kerja.
Pemikiran demikian akan membebaskan mereka daripada berfikiran bahawa rezeki hanya datang melalui pekerjaan. Ia juga akan membangkitkan semangat kreatif yang sedia ada dalam diri sendiri hingga membuka mata mereka kepada peluang yang ada.
Peluang, kata Prof Muhammad Yunus adalah seperti bas yang telah pergi tetapi sebuah bas lain tetap akan mampir.
Bagaimana pun beliau kesal dengan keadaan masa kini di mana mesin diberi perhatian yang lebih daripada orang yang menganggur.
Jika sebuah mesin di kilang yang sempurna ditinggalkan tanpa berfungsi, pemilik kilang akan risau dan membuat apa sahaja untuk memastikan ia berterusan berjalan pada kapasiti maksimumnya.
“Malangnya perhatian yang sama tidak pernah diberikan kepada orang yang menganggur. Kapasiti kreatif yang terdapat dalam diri mereka dibiarkan terkubur sahaja.
“Kegagalan untuk menggali potensi yang tertanam ini di ketepikan sebagai sebuah masalah politik, masalah politik yang perlu diselesaikan sebelum para penganggur berarak di jalanan”, tambah beliau.
Prof Muhammad Yunus memberi contoh program kredit mikro yang beliau mulakan telah membukti bahawa orang yang dipinggirkan oleh masyarakat sebenarnya mempunyai kebolehan untuk berdikari. Program tersebut merupakan kunci kepada orang miskin untuk merealisasikan potensi mereka.
Ia menjadi alat untuk membebaskan kebolehan kreatif yang terbuku dalam kaum yang dianggap terpinggir itu, suatu kemampuan yang tak pernah diduga oleh masyarakat.
“Selama ini mereka dianggap sebagai golongan yang terpaksa bergantung pada orang lain, kita menganggap yang mereka hanya layak menjadi pembantu rumah dalam rumah kita. Tiba-tiba dengan peluang yang diberikan mereka berjaya menjadi usahawan dan mengendalikan kilang mereka sendiri yang beroperasi dari rumah,” tambahnya.
“Kini kita pula menganggap penganggur sebagai suatu masalah yang perlu diselesaikan dan bukannya sebagai sumber yang perlu dimanfaatkan.
“Jika golongan miskin boleh bertukar menjadi usahawan dengan hanya diberi bantuan yang diperlukan, tidak ada sebab mengapa penganggur dihalang mencipta nasib mereka sendiri untuk menjadi lebih baik.
“Manusia bukanlah sesuatu yang pasif dan hanya duduk menunggu untuk dipilih oleh majikan. Mereka adalah aktif dan boleh berdikari serta mempunyai daya kreatif untuk membina sesuatu”.
Dunia akademik yang menyediakan generasi muda untuk siap dipilih oleh majikan yang terdiri dari sektor swasta, kerajaan atau NGO perlu menyelidik struktur yang berpaksikan kepada tanggapan ini, kata Prof Muhammad Yunus.
Suatu struktur harus diwujudkan bagi membolehkan perniagaan dinilai dari sudut sejauh manakah ia menyelesaikan masalah dan bukanya untung rugi semata-mata.
Perniagaan sosial demikian akan membolehkan setiap individu meneroka kebolehan mereka. Dalam usaha itu mereka bukan sahaja boleh menyara diri sendiri tetapi membuka peluang kepada orang lain.
Prof Muhammad Yunus telah menghadiri Persidangan Antarabangsa Perniagaan Sosial di UKM di sini hari ini.
Turut hadir Felo Diraja Pusat Pembangunan Usahawan dan SME (CESMED), UKM Tunku Ali Redhauddin Tunku Muhriz dan peserta dari seluruh dunia.
Persidangan itu dianjurkan oleh UKM dan The Grameen Creative Lab Germany.