Chin Chuin Hao dan Noorshazweena Menangi Anugerah Pelajaran DiRaja
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 26 Okt 2013 – Seorang graduan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dan seorang lagi dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK) dikurniakan Anugerah Pelajaran DiRaja di upacara Konvokesyen ke-41 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Chin Chuin Hao dari FKAB dan graduan FSSK Noorshazweena Kamaruddin menerima anugerah itu kerana prestasi cemerlang mereka dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Prof Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa berkata Chin telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dengan memperolehi anugerah dekan dalam kesemua 8 semester pengajiannya.
Beliau berkata Chin berjaya menamatkan pengajiannya dengan memperolehi keputusan membanggakan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif 3.83.
Selain dari sokongan berterusan daripada keluarganya, Prof Marzuki mengaitkan kejayaannya itu sebagai hasil dari bimbingan serta tunjuk ajar yang diberikan kepadanya oleh pensyarah-pensyarahnya di fakulti.
Atas minat yang mendalam, Chin juga telah melibatkan diri dalam penyelidikan yang dijalankan di jabatan. Di bawah bimbingan penyelia, Prof Dr Andanastuti Muchtar, Chin berjaya menerbitkan hasil kajian penyelidikannya mengenai pembangunan seramik zirkonia sebagai bahan restorasi dental dalam dua persidangan antarabangsa.
Prof Marzuki berkata Chin tidak hanya tertumpu dalam bidang akademik semata-mata tetapi juga bergiat aktif dalam bidang kokurikulum seperti aktiviti Bulan Sabit Merah Malaysia dan kelab Tiong Hwa di Kolej Keris Mas.
Beliau dengan pasukannya juga telah mengharumi nama baik UKM di peringkat antarabangsa apabila mereka menjuarai pertandingan Shell Eco Marathon Asia 2012 dalam kategori kereta solar.
Bagi Noorshazweena pula, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Dr Hazita Azman berkata graduan itu mengikuti bidang pembangunan manusia, setelah mencuba bidang sains tulin di sebuah universiti lain.
Noorshazweena, katanya, telah mendalami potensi diri serta membantu individu lain mencapai impian mereka yang mendorong pengukuhan tamadun kemanusiaan.
Di FSSK, pelajar itu telah terlibat dalam pelbagai bidang kesarjanaan, kepimpinan dan kesukarelawanan. Antaranya menyertai World Youth Leaders Forum di Hong Kong dan membentangkan poster kajian bertajuk ‘opening doors to empowerment’ di bawah tema sosial.
Sepanjang pengajiannya di UKM, Noorsyazweena telah menyerlahkan keterampilan dalam pelbagai bidang yang melayakkannya memperoleh pelbagai anugerah.
Antaranya Anugerah Dekan, Anugerah Pelajar Cemerlang Kolej, Anugerah Pencinta Ilmu Perpustakaan Tun Seri Lanang serta Anugerah Rakan Muda.
Beliau bergiat aktif dalam Kelab Teater Citra Kolej Pendeta Zaaba dan telah mengetuai pelbagai program tahunan anjuran FSSK dan kolej.