Syair Pada Pinggan Bersejarah Buatan Eropah Bukti Keunggulan Sastera Melayu

Oleh Nasrullah Uul  (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Abd Ra’ai Osman

Pantun On Antique European Crockery Proof Of Western Interest In Malay Literature.jpg1BANGI, 7 April 2015 – Syair dan pantun merupakan ciri khas budaya dan juga peninggalan sejarah daripada Melayu Nusantara yang banyak dipelajari di Eropah dan menjadi kesenian untuk pinggan.

Felo Penyelidik Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Dr Hendri Chambert-Loir berkata minat cendekiawan Eropah pada kurun ke-19 terhadap sastera Melayu kelihatan dalam pinggan buatan Eropah yang dijadikan alat pembelajaran membaca kerana mengangungi nasihat-nasihat dan pengajaran-pengajaran hidup.

Beliau yang menyampaikan wacana bertajuk Pinggan Buatan Eropah Abad ke-19 Berhiasan Syair dan Pantun Melayu, disini pada Mac 25, berkata pantun yang menjadi budaya lisan masyarakat Nusantara, telah dijadikan sebagai produk seni tulisan oleh masyarakat Eropah pada zaman silam.

Wacana dianjurkan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Skrip pada pinggan yang kebanyakkannya tulisan Arab yang diubah suai dikenali sebagai Langkah dan kebanyakan dibuat di Timur Tengah, Eropah dan Cina untuk pasaran dunia Islam. Namun ada sejumlah kecil pinggan yang dibuat di England pada abad ke-19 untuk pasaran Hindia-Belanda (Indonesia).

Prof Chambert-Loir berkata pinggan ini berhiaskan dua jenis teks: satu pantun di bahagian tepi yang memperkenalkan nama pembuatnya di England dan pengedarnya di Batavia (Pulau Jawa).

Terdapat juga sajak di bahagian tengah pinggan. Sajak ini berupa pantun atau syair dengan sembilan jenis tata letak dan metrum yang berbeza. Ianya mengandungi kata-kata hikmah, ungkapan Islam atau sajak cinta.

“Pinggan-pinggan itu adalah benda seni yang cukup indah kerana sajak-sajaknya yang berasal dari kesusasteraan Melayu lama. Pinggan itu juga antara produk dagang yang dibuat di Eropah untuk negeri jajahan”, kata Prof Chambert-Loir.

Prof Chambert-Loir  yang telah melakukan penyelidikan tentang naskah Nusantara sejak tahun 1971, berkata sejumlah pinggan jenis itu dijumpai di beberapa makam keramat yang ada di pulau Jawa seperti makam tokoh-tokoh Islam di Indonesia (Wali Songo), misalnya Sunan Jati yang ada di Cirebon dan Sunan Bonang di Magelang.

Namun, beliau percaya ia tidak ada kaitan dengan penyebaran Islam di Nusantara kerana pembuat pinggan tersebut adalah orang Eropah yang majoriti bukan beragama Islam.

Namun sering kali benda-benda seni ini dikaitkan dengan penyebaran Islam kerana tulisannya menggunakan bahasa Arab.

Tulisan ini hanya merujuk kepada Islam tetapi  makna dan isi berupa syair dan pantun tentang cinta, nasihat dan ajaran-ajaran hidup.

Namun pada tahun 1988,  telah dikeluarkan  surat edaran daripada Jaksa Agung Indonesia supaya pinggan-pinggan ini dimusnahkan kerana ianya dianggap sebagai penodaan terhadap ayat suci Al-Qur’an. Itulah sebab itu pinggan-pinggan ini semakin sukar untuk ditemui.

Ianya juga dijumpai di Belanda dalam bahasa Makassar (tulisan Lontara), yang berbeza hanya jenis tulisan tetapi konteks dan isi tetap sama. Benda seni jenis seperti ini  tidak sahaja dapat jumpai dalam pinggan tetapi di kain dan hiasan-hiasan dinding juga boleh ditemui.

Pinggan-pinggan ini dipamer dan disimpan di beberapa tempat seperti muzium, makam, koleksi peribadi dan tokoh barang antik.

ukmnewsportal-bm