10 Pelajar UKM Terima Biasiswa SKG Group of Companies
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 8 Dis 2015 – Seramai 10 pelajar Universiti Kebangsaan Malasyia (UKM) menerima penajaan biasiswa daripada syarikat SKG Group of Companies (SKG Group) untuk sepanjang tempoh pengajian di UKM.
Presiden SKG Group, Dr Lee Siew Keong berkata pemberian biasiswa tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat untuk syarikat itu.
“Sememangnya menjadi dasar dan tanggungjawab kami di sektor korporat melibatkan diri dalam tanggungjawab sosial bagi membantu mereka yang memerlukan. Dengan cara ini, ia akan memupuk keseimbangan dalam ruangan komuniti kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Penganugerahan Biasiswa Dr Lee Siew Keong (Dana Pendidikan SKG Group of Companies) di sini semalam.
Katanya beliau berharap dana SKG Group akan mencecah nilai sehingga RM10 juta pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan dan berkelayakan.
“Kepada pelajar-pelajar yang telah terpilih menerima biasiswa ini, saya menyeru supaya anda semua mengambil peluang ini untuk meningkatkan prestasi dan kecemerlangan anda kerana ini akan menjadi dorongan kepada pelajar-pelajar lain dan akan menjadi aset bernilai untuk keluarga, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata dengan sokongan dan kolaborasi daripada UKM, beliau berharap SKG Group akan sentiasa menjadi peneraju kepada tanggungjawab sosial di UKM.
“Semoga jalinan kerjasama ini akan menjadikan kami (SKG Group) lebih maju pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata biasiswa itu merupakan satu anugerah yang besar kepada pelajar-pelajar yang menerimanya untuk menamatkan pengajian di UKM.
“Saya mengharapkan mereka (pelajar) dapat menamatkan pengajian dengan baik dan boleh menyumbangkan tenaga kepada pembangunan negara dan mungkin juga SKG Group dapat mengambil mereka untuk bekerja di syarikat ini dan memajukan lagi SKG Group,” ujar beliau.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Lee kerana bermurah hati untuk memberi biasiswa kepada 10 pelajar UKM untuk tahun ini dan juga tahun-tahun akan datang.
Pada majlis itu, seramai 10 pelajar, masing-masing dari Fakulti Perubatan, Teknologi dan Sains Maklumat, Sains & Teknologi, Ekonomi & Pengurusan, Sains Sosial & Kemanusiaan, Sains Kesihatan, Undang-undang dan Pengajian Islam telah menerima biasiswa dengan nilai RM4,500 untuk setiap semester sepanjang pengajian.
Biasiswa ini disampaikan sendiri oleh Dr. Lee dan disaksikan oleh Prof. Dato’ Riza Atiq Abdullah dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Imran Ho Abdullah.
Pada bulan September yang lalu, SKG Group telah menandatangai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan UKM bagi memberi dana kepada UKM sebanyak RM2 juta bagi tempoh lima tahun.