10 Tokoh Penceramah Inspirasi Dari UKM Berada Dalam Sidang TEDx
Oleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Izwan Azman
BANGI, 23 Mac 2015 – Remaja negara ini diseru menghidupkan semula semangat Kemerdekaan seperti yang dilaungkan hampir 60 tahun lalu.
Presiden Pengasas Institut untuk Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-Ábidin ibni Tuanku Muhriz berkata perjuangan kemerdekaan yang dicita-citakan Perdana Menteri Malaysia pertama (1957-1970) Tunku Abdul Rahman Putra bukan hanya catatan sejarah tetapi patut diteruskan sebagai inti pati kemajuan negara.
Merasmikan persidangan motivasi pada siri ceramah TEDx anjuran Kolej Burhanuddin Hilmi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini baru-baru ini, Tunku Zain Al-Ábidin mengingatkan belia untuk mengamalkan ciri-ciri toleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain.
TEDx ialah suatu program ceramah yang menjemput pembicara daripada universiti awam dan swasta untuk menceritakan pengalaman diri mereka dengan tujuan memberi rangsangan mahu maju kepada pelajar.
TEDx diasaskan oleh TED (Teknologi, Hiburan, Reka Cipta), satu persidangan global yang mengumpulkan para tokoh inspirasi dari pelbagai bidang untuk tampil memberikan persembahan dalam sesuatu persidangan.
Tumpuan TED kini meliputi perbincangan mengenai keusahawanan, blog, kewartawanan, syarahan, perniagaan, sains, kebudayaan dan akademik.
Tunku Zain Al-Ábidin juga melahirkan rasa sedih terhadap kedudukan perpaduan negara masa kini dengan berharap remaja yang menghadiri acara itu akan sedar betapa pentingnya semua rakyat menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Sehubungan itu, katanya, sebuah negara berbilang kaum dengan pelbagai perbezaan budaya, bahasa dan agama perlu dilindungi bersama-sama agar dapat memberi manfaat kepada pembangunan tamadun negara.
Beliau adalah salah seorang daripada 10 peserta yang memberi ceramah motivasi di acara itu, yang menampilkan muzik, penayangan filem pendek serta video daripada penceramah antarabangsa TED.
Daripada 9 penceramah, tiga adalah mahasiswa atau kakitangan UKM.
Seorang usahawan muda dan pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi Salazar.my dari syarikat induk Coffee Theory sejak tahun 2012, Muhammad Alimuddin Bin Zafrullah berkata bahawa impian besar boleh dimulai daripada yang kecil dan dapat diraih dengan kerja keras, manakala kemajuan di bidang keusahawanan memerlukan kepintaran melihat peluang dan keberanian merebutnya.
Siti Shahkirah pula, ketika masih usia 12 tahun menjadi pelumba wanita termuda dalam Kejohanan ‘Go-Cart’ Rotax Max World Championship.
Shahkirah juga ingin membuktikan bahawa kaum hawa pun boleh berjaya menjadi pelumba. Pada awalnya sukan itu adalah sebagai hobi sahaja tetapi bila diteruskan sudah menjadi suatu pekerjaan yang menguntungkan, katanya.
Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa UKM Dr Salawati Mat Basir memberitahu para hadirin terdapat ramai orang berbakat dalam masyarakat Malaysia tetapi perlu tahu bagaimana menggunakannya. Sebagai seorang pensyarah, ia merupakan tugas utama untuk mendidik generasi bangsa.
Dr Salawati berkata kita perlu mampu bersaing secara global kerana kecerdasan akademik sahaja tidak cukup. Ia harus didukung dengan kemampuan membangun jaringan serta pengembangan kebolehan berkomunikasi sehingga wujud interaksi secara global.
Program TEDx diwujudkan untuk mencipta ‘revolusi pemikiran’ di kalangan rakyat Malaysia supaya inginkan kemajuan.