10,000 Atlet, Pegawai dan Sukarelawan SUKIPT Berkampung di UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 2 Feb 2018 – Kira-kira 10,000 atlet, pegawai pengiring dan sukarelawan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018 berkampung di Universiti Kebangsaan Malaysia UKM) bagi menjayakan sukan dwi tahunan tersebut.

Sebanyak 69 kontinjen IPT  tempatan dan sembilan kontinjen IPT antarabangsa mengambil bahagian dalam 27 acara yang dipertandingkan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan),  Kementerian Pendidikan Tinggi , Dato’ Kamel Mohamad berkata sukan adalah platform terbaik untuk pelajar menonjolkan bakat.

Katanya, sukan yang akan melengkapkan pengalaman kita di universiti kerana dalam sukan ada kepimpinan selain keusahawanan malah ia pengalaman yang baik untuk pelajar.

Beliau berkata demikian, ketika berucap di Majlis Perasmian Perkampungan SUKIPT dan Bilik Sekretariat 2018 di Astaka Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) di sini

Hadir sama, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazal dan ketua-ketua  kontinjen pasukan yang bertanding.

Seterusnya, Dato’ Kamel berkata, penganjuran sukan juga adalah cabaran kepada tuan rumah dan jawatankuasa supaya menunjukkan prestasi yang baik dengan pengurusan perkampungan sukan.

“Jadi, saya harap pengurusan sukan kali ini akan menjadi lebih baik dari yang sebelum ini,” katanya.

SUKIPT 2018 meneruskan tradisi semangat setiakawan dalam kalangan negara Asia Tenggara apabila mengundang IPT dari luar negara untuk turut serta mengambil bahagian iaitu dari Indonesia, Singapura, Thailand dan India.

Sebanyak 238 pingat emas, 238 pingat perak dan 399 pingat gangsa bakal direbut oleh atlet yang mengambil bahagian.