120 Pelajar Sekolah Seluruh Malaysia Berkampung Di PERMATApintar Bentang Hasil Penyelidikan

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 27 Julai 2016 – Kira-kira 120 orang pelajar dari 22 buah sekolah termasuk ASASIpintar dan Kolej PERMATApintar telah berkampung di Pusat PERMATApintar Negara (PERMATApintar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk membentangkan hasil penyelidikan masing-masing.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq OK Abdullah berkata program International Future Scientist Conference for the Gifted and Talented Students 2016 diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar sekolah membentangkan hasil penyelidikan mereka supaya dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita akan membuat pemilihan penyelidikan mana yang layak untuk kita bawa ke peringkat nasional dan antarabangsa. Kita juga akan meletakkan hasil penyelidikan ini dalam prosiding, dan prosiding itu akan diletakkan dalam internet supaya masyarakat dunia boleh lihat dan baca,” katanya kepada media selepas merasmikan program tersebut di sini semalam.

Beliau berkata persidangan selama tiga hari itu adalah bagi mendidik pelajar-pelajar membuat penyelidikan dan membentangkannya kepada umum.

“Kalau mereka (pelajar) membuat penyelidikan tetapi hanya simpan sahaja, mereka tidak akan mendapat apa-apa faedah.

“Tetapi jika mereka membuat penyelidikan dan menulis serta menerbitkannya, ia adalah sesuatu yang bagus kerana masyarakat dunia dapat menilai hasil penyelidikan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat PERMATApintar, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak berkata hampir 200 penyelidikan telah dihasilkan oleh pelajar-pelajar sekolah seluruh Malaysia sejak persidangan itu diadakan lima tahun lalu.

Menurut beliau, ada antara peserta ini telah memenangi pingat emas di persidangan antarabangsa di Romania pada Mei lepas.

“Tahun ini kita mendapat peneyertaan yang lebih banyak berbanding tahun-tahun lepas. Kita juga menerima penyertaan daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC) selain dari sekolah berasrama penuh, sekolah harian dan Maktab Rendah Sains Mara,” katanya.ukmnewsportal-bm
3