130 Mahasiswa Terima Bantuan Khas Sempena Bulan Ramadan


Oleh Asmahanim mair
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 23 April 2021 – Seramai 130 mahasiswa yang terdiri daripada wakil Persatuan Mahasiswa, pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), anak yatim dan B40 menerima bantuan khas dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena bulan Ramadan yang disalurkan melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM tidak melupakan mahasiswa yang memerlukan dengan memberi sumbangan dan bantuan kebajikan sama ada melalui zakat mahupun tabung kebajikan pelajar.

“Bantuan ini diberikan secara konsisten kepada mahasiswa yang layak bagi meringankan beban dalam menjalani ibadah puasa pada Ramadan kali ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Jalinan Kasih Mahasiswa Bersama Naib Canselor, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim.

Beliau berkata mahasiswa merupakan aset penting dalam memastikan kejayaan UKM.

“Jadi, pelbagai usaha dan inisiatif diberi keutamaan oleh universiti dalam memastikan kebajikan dan kecemerlangan para mahasiswa terjaga.

“Saya yakin para mahasiwa akan terus bertahan, bersungguh-sungguh serta tekun dalam menempa kecemerlangan akademik mahupun sahsiah,” katanya.

Dalam majlis yang saya, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan turut melancarkan Buku Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Aktiviti/ Program Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Beberapa prosedur operasi standard (SOP) dibentuk dan dibukukan untuk memastikan semua aktiviti dan program mahasiswa dapat berjalan dengan lancar walaupun dalam norma baharu.

“Buku ini adalah salah satu contoh komitmen yang digembleng oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar yang bertujuan untuk memudahkan pelaksanaan program mahasiswa,” katanya.

Buku tersebut boleh dimuat turun di https://www.ukm.my/hepukm/wp-content/uploads/2021/04/SOP-Pengurusan-Program-Pelajar-UKM.pdf