UKM Kukuhkan Jalinan Strategik Bersama NCCU


Oleh Dzvuriyah Velayit Hussein
Foto oleh Muhammad Syafiq Abd Halim dan Muhammad Nadzim Nor Azmi

TAIWAN, 10 Feb 2018 – Jalinan strategik di antara UKM dan National Chengchi University (NCCU), Taiwan telah diperkukuh apabila 17 ahli Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) Kolej Pendeta Za’ba (KPZ), UKM terlibat dalam program mobiliti di universiti tersebut, baru-baru ini.

Program itu adalah salah satu daripada hasil Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan NCCU yang telah ditandatangani oleh Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali pada Julai 2017.

Program yang bertemakan Malaysia to the Orient: A Curiosity Travel telah memberi peluang kepada pelajar untuk menyelami budaya masyarakat Taiwan selama satu minggu.

Antara lain, peserta melawat Pasar Malam Shilin, menjalani ibadah di Masjid Besar Taiwan, menjelajah keindahan Yehliu Geopark dengan melihat batu-batu sarang lebah dan cendawan yang terhakis oleh laut serta melawat Taipei 101 atau Pusat Kewangan Dunia Taipei.

Program tersebut turut dihadiri oleh Pengetua KPZ, Prof Madya Dr Ahmad Sunawari Long dan Penolong Pegetua Kolej, Asyraf Radzwan.