14 Pelajar Lepasan SPM Terima Kemahiran Asas Dalam Bidang Elektronik di UKM
Oleh Mas Aliza Abu
Foto Ikhwan Hasim
31 Januari 2020 – Seramai 14 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari seluruh Malaysia telah menerima kemahiran berasaskan pengalaman dalam bidang elektronik selaras dengan keperluan Revolusi Industri (IR) 4.0 menerusi Program 21st Century Bootcamp 2020 yang telah berlangsung dari 6 Januari sehingga 31 Januari 2020 anjuran Program Pemerkasaan Kompetensi Akademik Siswa (PKAS), Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, UKM.
Justeru iu, Pengarah Program PKAS, Dr Kalaivani Chellapan berkata, bagi mendepani cabaran era Industri 4.0, generasi masa kini perlu menguasai bidang STEM bagi memacu negara mencapai hasrat negara maju malah pendidik di Universiti berdepan dengan cabaran untuk memupuk minat para pelajar dalam bidang penyelidikan.
Menurut beliau, penerokaan minat penyelidikan pelajar agak terlambat setelah meraka berada di Institusi Pengajian tinggi oleh itu universiti mengambil inisiatif untuk merekabentuk program yang dapat mengenalpasti minat pelajar dalam bidang penyelidikan dengan memberi pendedahan lebih awal melalui program intensif.
Program sangkutan selama 20 hari menggunakan pendekatan interdisiplin dan pedagogi pembelajaran berasaskan pengalaman telah mengintegrasikan beberapa aspek termasuklah rekabentuk pemikiran, 4 tonggak Industri 4.0, gabungan aplikasi laman sesawang dan analitik Google dalam program ini.
Pelajar-pelajar juga melawat makmal-makmal terpilih dan Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) sebagai pendedahan awal kepada mereka.
Untuk sesi kedua ini, urusetia program telah menerima 125 permohonan dari seluruh negara dengan hanya 15 orang peserta sahaja yang telah dipilih. Bagi sesi pertama yang telah diadakan pada Februari 2019, hanya lima orang peserta sahaja yang telah dipilih dengan kriteria pemilihan menyertai program ini merangkumi aspek latar belakang demografi pemohon dan keluarga, pencapaian akademik pemohon, status kewangan keluarga dan penilaian psikometrik.
Berdasarkan ucapan dari pelajar yang terpilih, rata-rata pelajar menzahirkan maklumbalas yang sangat positif kerana program seperti ini telah mendedahkan mereka kepada cabang-cabang yang ada terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan mencetuskan minat mereka dalam bidang-bidang tertentu.
Para pelajar ini juga secara tidak langsung telah diberi pendedahan dalam kehidupan seharian sebagai seorang mahasiswa di Universiti selain telah berjaya meningkatkan tahap komunikasi dan keyakinan diri masing-masing sepanjang mengikuti program ini.
Prof. Ir. Dr. Siti Rozaimah Sheikh Abdullah selaku perasmi untuk Majlis Penutup 21st Century Electronics Bootcamp 2020 ini berharap supaya program seperti ini diperkasakan lagi dan diteruskan di masa akan daang bagi memastikan hasrat mewujudkan modal insan yang berkuali dan berdaya saing dalam cabaran IR 4.0 dapat dipenuhi.
“Saya menyeru semua pihak untuk memainkan peranan dalam skop masing-masing. Ibu bapa, guru, komuniti, jabatan kerajaan, rakan industri serta Universiti perlu berganding tenaga bagi memastikan pendidikan yang berkualiti untuk generasi pewaris masa hadapan,” ujar beliau.