203 Orang Pelajar SBP berentap dalam Pertandingan Olimpiad Matematik SBP
Oleh Mohamad Arif Haziq Mohamad Musri
Foto Muhammad Izwan Azman
BANGI, 3 Februari 2020 – 203 orang pelajar dari 31 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh Malaysia dari tingkatan satu hingga lima berentap dalam pertandingan Olimpiad Matematik SBP kali kedua bermula dari 3 hingga 5 Februari 2020 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pertandingan tersebut adalah anjuran bersama Sekolah Menengah Sains Alam Shah, UKM dan Ardent Education Consultant.
Pertandingan tersebut menunjukkan satu peningkatan dalam jumlah peserta iaitu dari 163 orang peserta pada tahun lepas kepada 203 orang pada tahun ini.
Untuk kali ini, pertandingan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama melibatkan pelajar untuk berkursus selama 12 jam dan bahagian kedua ialah ujian selama dua jam setengah.
Menurut Pengetua Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Norazhar Mohd Shah, tujuan program itu adalah untuk memilih pelajar mewakili SBP bagi Ujian Pemilihan Olimpiad Matematik Antarabangsa 2020.
Pertandingan tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Prasiswazah) Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Prof Ir Dr Siti Rozaimah Sheikh Abdullah.
Sementara itu, pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah di Panggung Seni, Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) oleh Pengarah Pusat Jaringan Transformasi Komuniti, Prof Dato’ Dr Rokiah Omar yang turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Sekolah Berasrama Penuh, Adi Jantan dan Pengetua SMS Alam Shah.
Tiga kategori masing-masing pingat emas, perak dan gangsa dengan lima pemenang bagi kategori peringkat menengah rendah dan menengah atas dan masing-masing satu kategori iaitu Honourable Mention dengan 10 pingat untuk menengah rendah dan atas.