22 Bulan Memimpin UKM Dengan Cemerlang, Kini Prof Dato’Ir Dr Mohd Hamdi Menabur Bakti di Universiti Malaya
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 1 November 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima kejutan apabila Naib Canselor ke-11, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor menamatkan tempoh 22 bulan sebagai Naib Canselor UKM pada 31 Oktober 2020 dan dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya yang baru mulai 1 November 2020. Dalam tempoh yang singkat ini, beliau telah menunjukkan tokoh kepimpinan yang cemerlang apabila kejayaan demi kejayaan telah dilakar oleh UKM.
Selain dari kedudukan dalam QS World University Rankings yang telah melonjakkan nama UKM ke tangga ke-141 terbaik dunia dan THE Asia University Rankings ditangga ke-160, beliau juga telah berjaya menggerakkan seluruh warga UKM terutamanya para akademia untuk meningkatkan penerbitan buku, jurnal dan makalah antarabangsa selain berusaha mendapatkan lebih banyak geran penyelidikan indsutri dan geran antarabangsa. Sehingga kuarter ke tiga tahun 2020, peningkatan geran antarabangsa adalah sebanyak 161% berbanding tahun 2019.
Pada hari terakhir beliau di UKM, beliau telah menitipkan pesanan buat seluruh warga universiti yang beliau dikasihi dan sentiasa berada dihatinya.
“UKM adalah sebuah universiti yang sangat berpotensi dan mempunyai kelebihan yang sangat banyak. Saya berkeyakinan penuh bahawa UKM pada suatu hari nanti akan menjadi sebuah universiti yang tersohor dan akan pergi jauh kehadapan dari semua universiti di Malaysia jika seluruh warganya bersatu padu dan bekerja dengan ikhlas untuk universiti.
“Jika nilai KAMII (Keserakanan, Akauntabiliti, Merit, Inovatif dan Integriti) betul-betul kita dalami, saya yakin banyak perkara yang baik dapat kita capai,” katanya.
Beliau berkata pemimpin akan datang dan pergi tetapi apa yang penting adalah pembinaan institusi tersebut.
“The building should be continued. Saya datang ke UKM sebelum ini adalah bagi mengukuhkan apa yang telah dibina oleh VC (Naib Canselor) sebelum ini. Begitu juga dengan VC yang akan datang selepas ini, akan mengukuhkan apa yang telah kita bina sebelum ini,” ujarnya.
Beliau juga turut menyeru seluruh warga UKM agar bersama-sama memastikan momentum yang telah dibina itu diteruskan untuk memastikan UKM menjadi sebuah universiti bertaraf dunia.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar menyatakan rasa sedih dengan berita tersebut kerana Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi pergi meninggalkan UKM dalam jangka masa yang singkat.
“Terima kasih di atas segala sumbangan yang telah beliau berikan kepada UKM. Walaupun dalam tempoh 22 bulan sahaja di UKM, beliau telah menunjukkan sikap sebagai seorang pemimpin yang bagus dan menghayati nilai KAMII UKM.
“Terima kasih atas segala khidmat bakti dan selamat maju jaya diucapkan kepada Dato’ Hamdi di Universiti Malaya,” katanya.
Sikap beliau yang mudah didekati dan berpandangan jauh meninggalkan kesan hiba namun positif dalaam kalangan warga UKM yang berpendapat bahawa beliau telah meninggalkan tauladan yang baik untuk diteruskan oleh warga UKM selepas ini.
Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi dilantik menjadi Naib Canselor UKM ke-12 pada 1 Januari 2019 dan kini beliau diberi kepercayaan untuk menerajui Universiti Malaya sebagai Naib Canselor ke-13 universiti tersebut berkuatkuasa 1 November 2020.