25 Tahun Penubuhan, LESTARI Lakar Banyak Kejayaan
Oleh Siti Lailatul Mastura
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 1 Oktober 2019 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditubuhkan sejak 25 tahun lepas telah melakar banyak kejayaan dengan pelbagai cabaran.
Mantan Pengarahnya, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, cabaran besar yang perlu dihadapi oleh LESTARI adalah menerangkan kepada Institusi Pendidikan dan pihak Universiti yang mempersoalkan penubuhan LESTARI suatu masa lalu.
Bagi membuktikan penubuhan LESTARI bukanlah sesuatu yang sia-sia, beliau berkata, LESTARI telah mewujudkan program besar seperti Sains Kelestarian dan Governan Kelestarian bagi menggerakkan kelestarian dan program-program itu telah disokong oleh program yang besifat sektoral seperti kelestarian alam sekitar dan kelestarian ekonomi dan industri.
“Dalam tempoh lima tahun, LESTARI dapat membawa kelainan dalam institusi ini dan dapat melakar kejayaan demi kejayaan.
“Antara kejayaan LESTARI adakan dengan mewujudkan konsep baharu bagi tujuh program termasuklah Warisan Geologi Malaysia, bencana alam serta pembangunan komuniti terpinggir dan semua ini bergerak sama hebat sehingga kini.
“Kejayaan Warisan Geologi Malaysia adalah luar jangkaan saya dimana perkembangan LESTARI sehingga ke hari ini telah membawa kepada kerjasama yang erat antara LESTARI dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sehingga mewujudkan pusat penyelidikan UKM di Langkawi,” katanya.
Beliau yang dua kali dilantik sebagai Pengarah LESTARI (tahun 1999-2000 dan 2003-2005) berkata warisan geologi itu juga berkembang menjadi idea Geopark dan sehingga kini, lebih 500 National Geopark telah di iktiraf di seluruh dunia.
Sementara itu, Pengarah LESTARI, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata, LESTARI tetap menghadapi sedikit kesukaran untuk terus bergerak ke hadapan.
“Isu lama tetap akan kekal bersama kita. Bagaimana nak tangani cabaran ini serta memikirkan bagaimana nak relevankan semua ini, itu harus kita fikirkan.
“Jadi, tuntutan dari 25 tahun lepas dan sekarang adalah berbeza, tetapi kita boleh mencari penyelesaian secara bersama dengan menggunakan alam sekitar dan sumber asli dengan betul,” katanya.
Forum selama dua jam itu turut membariskan mantan-mantan Pengarah LESTARI yang lain iaitu Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Latif Mohamad (2001-2002), Prof D. Mohd Raihan Taha (2014-2019), Prof. Emeritus Dr Mohd Nordin Hasan (1994-1999) dan Prof Emeritus Dato’ Dr Hood Mohd Salleh sebagai moderator.
Forum tersebut telah mengumpulkan semua bekas Pengarah LESTARI sejak 1994 sehingga kini bagi membincangkan tentang pencapaian yang telah dicapai sejak penubuhan LESTARI.