30 Peserta dari Lima Negara ASEAN Berkampung di UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 10 April 2018 – Seramai 30 peserta daripada lima negara ASEAN berkampung selama tujuh hari bermula dari 1 hingga 7 April lalu bagi mengetengahkan idea-idea keusahawanan yang memfokuskan kepada keusahawanan digital melalui program ASEAN Young Entrepreneurs Challenge (AYE) 2018.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr Roslee Rajikan berkata, dengan tema Merevolusi Keusahawanan Melalui Teknologi Maklumat para peserta perlu memikirkan konsep keusahawanan dengan memupuk potensi dan kemahiran keusahawanan digital.

Beliau berkaya, teknologi masa kini memainkan peranan yang sangat besar dalam persekitaran digital dan mempunyai potensi untuk mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat.

Menurutnya, banyak transaksi dilakukan secara online seperti pembelian bahan makanan, membuat tempahan di restoran dan membeli-belah untuk pakaian, semuanya boleh dilakukan hanya di hujung jari.

I am sure that in the years to come, it will be more challenging for one to capture the interest of target market,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian AYE 2018 baru-baru ini.

Katanya, beliau berharap program intelektual seperti itu dapat membantu mendidik dan mencipta pelajar yang kreatif, kritis dan yakin dalam melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Program yang dianjurkan oleh Kolej Aminuddin Baki (KAB) itu diadakan bagi memupuk remaja yang sanggup mengambil risiko untuk menjadi usahawan yang berjaya.

AYE yang mula diadakan pada tahun 2013 hanya melibatkan penyertaan di peringkat univeristi sahaja.

Sehingga klni, program itu terus berkembang ke peringkat negara ASEAN dan untuk tahun ini peserta dari lima negara ASEAN yang terlibat adalah dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei dan Laos.