42.1 Peratus Sumbangan Emas Sukan SEA 2017 Atlet IPT


Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman dan Shahiddan Saidi

BANGI, 5 Feb 2018 – Sebanyak 42.1 peratus pungutan pingat emas pada Sukan Sea 2017 disumbang melalui atlet dari Institusi Penidikan Tinggi  (IPT) Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018 adalah platform terbaik untuk menggilap bakat baharu ke pentas sukan yang lebih tinggi.

“Ini bermakna IPT mampu membantu negara. Sebab itu SUKIPT kali ini adalah untuk memastikan supaya kita dapat melahirkan atlet-atlet yang berprestasi tinggi pada masa akan datang,” katanya di Majlis Perasmian SUKIPT 2018 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mary Yap Kain Cheng, Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’Seri Dr Noor Azlan Ghazali dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKIPT, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal dan wakil IPT dan IPTS.

Beliau berkata SUKIPT 2018 adalah kejohanan sukan bertaraf antarabangsa kerana buat julung kalinya menerima penyertaan dari India.
yang diwakili oleh Christ University dalam sukan kriket.

Selain itu, tiga negara ASEAN yang turut bertanding dalam Sukipt 2018 ialah Thailand, Indonesia dan Singapura yang diwakili Nanyang Technological University,
manakala Thailand diwakili Thaksin University, Nakhon Si Thammarat Rajabhat University, Phuket Rajabhat University, Suratthani University dan Thammasat University.

Indonesia diwakili Universitas Negeri Jakarta dan Universitas Surabaya.

SUKIPT 2018 adalah edisi keempat diadakan dengan mempertaruhkan 238 pingat emas, 238 pingat perak dan 399 pingat gangsa bakal direbut oleh atlet yang mengambil bahagian dalam 27 acara.

Temasya sukan itu disertai 78 kontinjen iaitu 20 universiti awam, 42 universiti swasta, sembilan universiti antarabangsa, lima institut pendidikan guru, sebuah politeknik dan sebuah kolej komuniti  dari 2 hingga 10 Februari.