50 Belia ASEAN Jalani Projek Komuniti di Kampung Orang Asli Pos Gob


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 7 Ogos 2019 – Seramai 50 belia dari negara ASEAN akan menjalani projek komuniti di perkampungan Orang Asli Pos Gob, Gua Musang, Kelantan melalui Program Sukarelawanan Belia ASEAN 2019 bertemakan Membasmi Kemiskinan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, program itu bukan sahaja membolehkan anak muda atau belia Malaysia menjalankan aktiviti-aktiviti berunsurkan kemasyarakatan, tetapi mendedahkan mereka kepada rakan-rakan sebaya mereka di rantau ASEAN.

“Jadi, saya percaya program sebegini akan mengeratkan lagi hubungan, terutamanya hubungan kenegaraan antara negara-negara di rantau ASEAN ini.

“Saya berharap agar para sukarelawanan belia ASEAN yang menyertai program ini dapat menikmati keindahan, kebudayaan dan cara hidup budaya Malaysia yang berbilang kaum termasuklah kehidupan masyarakat Orang Asli yang sudah semestinya mempunyai budaya yang unik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata, AYVP adalah platform utama bagi kepimpinan komuniti mewujudkan peluang bagi belia ASEAN untuk membangunkan penyelesaian inovatif kepada cabaran sosial, budaya, ekonomi dan alam sekitar dalam komuniti ASEAN, sambil memupuk pengertian identiti serantau dan pemahaman silang budaya.

“Melalui program ini, belia dapat mengembangkan potensi kepemimpinan mereka dan mewujudkan kesedaran tentang identiti bersama komuniti ASEAN,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian AYVP Malaysia 2019 di sini.

Untuk tahun ini, AYVP yang bertemakan Pembasmian Kemiskinan akan membawa para sukarelawan belia ASEAN mempelajari tentang implikasi kemiskinan yang membawa kepada jurang pendidikan, kelaparan, diskriminasi sosial dan degradasi kesihatan.

Selaras dengan tema itu, Pos Gob, Gua Musang, yang merupakan penempatan semula pribumi yang terletak di kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia, telah dipilih sebagai tapak komuniti.

Para sukarelawan akan masuk dan tinggal di penempatan tersebut selama seminggu untuk merasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat Orang Asli di situ. AYVP Malaysia 20189 juga melibatkan misi brainstorming atau mengembangkan idea-idea sosial dan perniagaan dalam bentuk pakej Edutourism untuk meningkatkan keperluan asas kehidupan bagi penduduk asli di Pos Gob.

Program yang berlangsung selama 27 hari itu telah bermula pada 2 Ogos 2019 turut melibatkan aktiviti di sekitar Kuala Lumpur.