50 Pemimpin Belia ASEAN Kongsi Idea


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Oktober 2018 – Seramai 50 pemimpin belia ASEAN berkumpul di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama seminggu untuk berbincang dan berkongsi idea mengenai inovasi bandar pintar melalui program CIMB Young ASEAN Leaders (CYAL) 2018.

Program dengan tema ‘Resilience and Innovation towards a Green, Prosperous Lifestyle: Smart City,’ bertujuan untuk melatih pemimpin muda ASEAN yang luar biasa untuk membangunkan kemahiran dalam membangunkan bandar-bandar pintar di rantau ini dan rantau-rantau lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Dato’ Hamidah Naziadin berkata, program itu diadakan bagi membolehkan peserta bertukar-tukar idea, mengikuti pembelajaran dan pengalaman silang budaya dalam kalangan pemimpin belia ASEAN dan meningkatkan kualiti hidup rakyat ASEAN melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan.

“Ini adalah tentang kepelbagaian, idea dan pengalaman silang budaya. Program ini disokong oleh yayasan. Mana-mana program yang kita lakukan, kita mahu beri kepada masyarakat.

“Kami mahu pulang semula kepada masyarakat. Kami bukan hanya memberi rakyat Malaysia sahaja, tetapi kami turut beri kepada masyarakat ASEAN dan itulah sebabnya anda semua ada di sini,” katanya semasa menyampaikan ucapannya di Majlis Pembukaan CYAL 2018 di Puru Pujangga di sini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berharap, semua peserta pemimpin belia ASEAN mengambil peluang untuk menerokai kampus ini dan membina hubungan yang baik sesama mereka.

“Saya berharap program ini akan memberi pengalaman yang manis kepada anda semua,” katanya.

Tahun ini adalah tahun keeampat Yayasan CIMB bekerjasama dengan UKM dalam menjayakan CYAL.

Peserta yang terlibat adalah terdiri daripada dua orang wakil dari negara Thailand, enam orang dari negara Vietnam, tiga  orang dari negara  Filipina, masing-masing lima orang dari negara Myanmar dan Kemboja, empat orang dari negara Laos, tiga orang dari negara Brunei Darussalam, lapan orang dari negara Indonesia, seorang dari negara Singapura dan tuan rumah Malaysia 13 orang.