500 Orang Sertai Physiotherapy Charity Run 2018: Run with Golden Age


Berita dan Foto Oleh Bahagian Komunikasi Korporat, KKL

BANGI, 18 Oktober 2018 – Seramai 500 peserta dari pelbagai peringkat umur telah menyertai Physiotherapy Charity Run 2018: Run with Golden Age yang dianjurkan oleh Unit Fisioterapi, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), baru-baru ini.

Program larian yang diadakan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan bersukan untuk warga emas itu mendapat sokongan dan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan UKM.

Objektif penganjuran larian adalah untuk mempromosikan perkhidmatan dan peranan Unit Fisioterapi kepada orang awam, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat secara santai, serta mengumpul dana bagi tujuan menaiktaraf perkhidmatan Unit Fisioterapi.

Dalam pertandingan tersebut, johan bagi kategori terbuka lelaki 5km telah dimenangi oleh G. Sivaneshwaran  dengan catatan masa 17 minit 14 saat, manakala johan bagi kategori terbuka wanita 5km telah disandang oleh Nurliana Mohd Rusni dengan catatan masa 25 minit 12 saat.

Selain acara larian, aktiviti saringan kesihatan, sesi dialog bersama pakar untuk warga emas dan gerai jualan juga turut dibuka. Pengarah HCTM Prof Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid telah menyempurnakan acara pelepasan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.